Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Belum masanya buka sempadan antarabangsa

Membuka sempadan negara untuk pelancong antarabangsa walaupun dari 'negara hijau' harus dipertimbangkan - atau sekurang-kurangnya sehingga vaksin yang ditunggu-tunggu tiba di pasaran.

Jika tidak berhati-hari, ini boleh menjadi titik permulaan yang membawa kepada gelombang kedua pandemik.

Walaupun pembukaan sempadan negara perlu bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi, kesihatan dan keselamatan rakyat haruslah diutamakan.

Pada masa yang sama, kata Dr Noor Hisham Abdullah, “Kita harus waspada. Pengesyoran tidak boleh untuk meringankan sempadan, tetapi untuk mengetatkan.”

Walaupun ada yang berpendapat bahawa kita tidak boleh terlalu terganggu dengan ancaman wabak tersebut, fikirkanlah semula.

Membuka semula sempadan antarabangsa tidak semudah dan kurang berisiko seperti membuka semula pusat membeli-belah misalnya, tetapi memerlukan perancangan teliti dari banyak pihak.

Jika langkah-langkah yang diambil salah, dapat membahayakan keselamatan negara serta kesihatan rakyat.

Namun, penting untuk kita tahu bahawa kita bukanlah bertindak ‘tidak proaktif’, tetapi, kita sebenarnya sedang melindungi negara dari segala kemungkinan yang boleh berlaku akibat daripada wabak tersebut.

Tanya diri anda - adakah anda mahu negara kita kembali ke hari ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlaku, di mana semua sektor ekonomi yang tidak penting harus dihentikan daripada beroperasi?

Sekadar untuk mengingatkan- akibat daripada pelaksanaan PKP, ekonomi Malaysia menguncup 17.1 peratus pada suku kedua tahun ini, kadar terendah sejak suku keempat 1998 iaitu -11.2 peratus.

Namun, kita sepertinya sudah dapat kembali bernafas daripada bencana ekonomi yang telah menimpa kita, memandangkan hampir semua sektor perniagaan telah pulih, walaupun dengan kadar perlahan.

Oleh itu, sementara peluang untuk pulih secara beransur-ansur daripada wabak masih ada, sangat penting bagi kita untuk menggunakannya dengan bijak dan tidak terburu-buru - dengan terus mengejar “kestabilan ekonomi' yang dilihat masih samar-samar.

Pelancongan kulinari

Malah, bukankah lagi bagus jika kita hanya fokus untuk memperkasa sektor pelancongan domestik terlebih dahulu, sebagai alternatif lain yang lebih selamat untuk memacu ekonomi negara?

Sebagai contoh, sektor perniagaan di dalam industri ini serta “influencers” harus memanfaatkan platform media sosial untuk mempromosi industri pelancongan domestik, kerana media sosial memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian kita.

Dengan visual-visual menarik yang dimuat naik di media sosial, ia mampu menarik perhatian ramai dan secara tidak langsung mempengaruhi mereka untuk melancong di dalam negara kita.

Seterusnya, kerajaan boleh menyuntik satu lagi bentuk bantuan kewangan ke dalam industri ini yang dapat digunakan untuk mengiklankan tempat-tempat menarik di Malaysia, baik dalam bentuk iklan media sosial, iklan cetak atau papan iklan.

Melalui iklan tersebut, pelancong juga dapat diuar-uarkan dengan cara yang selamat dan berkesan untuk menikmati percutian mereka tanpa membahayakan kesihatan dan keselamatan mereka.

Selain itu, pernahkah anda dengar mengenai pelancongan kulinari?

Secara ringkas, ia juga dikenali sebagai pelancongan makanan, di mana pelancong mengunjungi tempat-tempat baharu atau terkenal dan meneroka budayanya melalui makanan dan hidangan yang disediakan di wilayah tersebut.

Inisiatif ini selalunya melibatkan pelbagai aktiviti seperti kelas memasak, festival makanan, dan lain-lain.

Selain berperanan penting dalam mempromosikan pemasaran destinasi, sangat penting bagi hotel dan agensi pelancongan untuk memperluas pilihan pelancongan kulinari mereka bagi memenuhi permintaan pelanggan serta memberikan pengalaman pelancongan makanan yang berkualiti.

Memandangkan pelancong biasanya menghabiskan lebih dari satu pertiga bajet mereka untuk makanan dan minuman, dan bahkan hingga 50% jika makanan adalah tujuan utama percutian, memperkasa industri melalui strategi seperti ini tidak akan merugikan.


NURAFIFAH MOHAMMAD SUHAIMI merupakan pembantu penyelidik di Emir Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS