Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Segera tingkatkan kualiti capaian Internet Bumi Kenyalang

Prestasi capaian Internet di kawasan luar bandar Sarawak masih pada tahap tidak memuaskan. Masih banyak kawasan yang tidak menerima capaian Internet langsung.

Selepas tular pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Veveonah Mosibin memanjat pokok bagi mendapatkan capaian Internet, seorang pelajar tahun akhir Universiti Pendidikan Sultan Idris dari Pakan, Sarawak yang dikenali sebagai Rose ED turut berkongsi kekangan dan cabaran dihadapinya.

Dalam catatan di Facebook, Rose (bawah) juga berdepan cabaran sama apabila terpaksa berkelambu dalam hutan bagi mendapatkan capaian Internet demi membuat pembentangan tugasan.

Selain Rose, kesukaran murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Uyau, SK Nanga Kesit dan SK Ulu Lemanak di Lubuk Antu sanggup berkampung di dalam hutan berbukit untuk mendapat capaian Internet bagi menyiapkan kerja sekolah dalam talian.

Masih ramai anak-anak di luar bandar yang tidak dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian kerana berdepan capaian Internet yang tidak memuaskan, selain masalah kekurangan infrastruktur asas lain.

Walaupun kerajaan melaksanakan pembelajaran dalam talian, keterbatasan dan kekangan wujud kerana masih ramai anak-anak Sarawak tidak dapat mengikutinya bukan saja tidak ada capaian Internet.

Malah ramai ibu bapa tidak ada kemampuan untuk membeli perkakas pembelajaran untuk anak-anak.

Pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian dan teknologi digital dalam bidang pendidikan perlu diperkemaskan, terutama dari segi capaian Internet.

Capaian Internet yang kurang memuaskan salah satu cabaran dan kekurangan yang dihadapi anak-anak di luar bandar, selain berdepan sekolah daif dan kekurangan prasana pendidikan lain.

Purata penggunaan sebanyak 12 gigabait data Internet sebulan oleh pengguna Internet di Sarawak, menunjukkan permintaan yang tinggi berbanding negeri lain di Malaysia.

Majoriti pengguna terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan membeli dan memasang signal booster yang berharga RM200-RM500 semata-mata untuk meningkatkan prestasi talian telefon di kediaman mereka.

5,000 menara telekomunikasi

Hal ini menggambarkan betapa tenatnya capaian Internet di negeri ini.

Mereka yang berkemampuan mungkin dapat mengikut jejak itu.

Malangnya masih ramai penduduk luar bandar yang hidup rata-rata kais pagi makan pagi dan ternyata masih ramai yang bergantung harap kepada usaha kerajaan yang memerintah.

Penerimaan capaian Internet yang lemah menjejaskan urusan harian penduduk. Apatah lagi pada era pembelajaran atas talian yang rancak diperkatakan oleh Kementerian Pendidikan dewasa ini.

Musim PKP jelas membuktikan urusan perniagaan atas talian mendapat sambutan yang memberangsangkan.

Bukannya niat untuk menunding jari tetapi kerajaan perlu proaktif menyediakan kemudahan prasarana ini.

Pelbagai pengumunan telah dibuat oleh kerajaan pusat dan kerajaan negeri untuk menaiktaraf dan menyediakan kemudahan jalur lebar lebih efisyrn namun sehingga kini kerajaan masih gagal dilaksanakan sepenuhnya.

Prestasi capaian masih lemah.

Sebuah syarikat pada 2017 dilaporkan berhasrat membina 5,000 menara telekomunikasi dalam tempoh lima tahun sehingga 2022.

Ini adalah untuk memenuhi aspirasi ketua menteri untuk memastikan Sarawak mencapai 95% liputan jalur lebar.

Peruntukan sebanyak RM2 bilion dijanjikan untuk tujuan tersebut.

Kerajaan negeri akan mengeluarkan RM1 bilion dan RM1 bilion lagi daripada kerajaan pusat melalui SKMM.

Strategi Ekonomi Digital 2018-2020 yang diilhamkan oleh ketua menteri turut menekankan pembinaan menara telekomunikasi.

Penekanan ini telah mewujudkan sebuah entiti yang terlibat langsung dalam pembangunan prasarana telekomunikasi di Sarawak. Entiti ini dikenali sebagai Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).

Melalui SMA300, 300 menara akan siap pada 2019 dan 300 buah menara lagi pada 2020.

Senarai retorik

Diharap agensi ini mampu berperanan sepatutnya dengan mengambil kakitangan yang berkemahiran dalam bidang ini.

Menurut SKMM sehingga Mei 2020, sebanyak 553 menara telah didirikan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi selain daripada menaik taraf 1,064 menara sedia ada.

Bermakna keseluruhan menara yang beroperasi di Sarawak cuma 1617 buah dan masih jauh daripada sasaran awal 5,000 buah menara.

Teknologi digital yang diuar-uarkan oleh kerajaan negeri masih memerlukan keazaman politik yang tinggi, bukan setakat menambah senarai retorik janji yang belum pasti.

Abang Johari Abang Openg 

Saya menyambut baik hasrat Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Abang Openg ingin menubuhkan syarikat telekomunikasi sendiri.

Tetapi sebelum itu, sewa penggunaan menara telekomunikasi yang bawah bidang kuasa kerajaan negeri hendaklah diturunkan harganya.

Ini akan membantu menarik minat syarikat telekomunikasi sedia ada untuk melebarkan kawasan liputan.


PIEE LING ialah setiausaha pengelola PKR Sarawak merangkap ketua cabang Batang Sadong.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS