Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah harus benarkan bekas CEO 1MDB baca pernyataan saksi - Sri Ram

Pihak pendakwaan dalam kes Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menggesa Mahkamah Tinggi memberi peluang bekas Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Hazem Abdul Rahman membaca pernyataan saksinya terlebih dahulu.

Kenyataan saksi ke-10 pihak pendakwaan itu tidak dikemukakan kepada mahkamah selepas pihak pembelaan membantah atas alasan pernyataan tersebut bersifat khabar angin. Mohd Hazem dijadual memberi keterangan semalam.

Ketua pasukan pendakwaan Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata saksi seharusnya diberi peluang membaca pernyataan saksi itu sebagai memenuhi peruntukan Seksyen 32 Akta Keterangan 1950.

“Pernyataan saksi tidak boleh difahami sekiranya sebahagian petikan dikeluarkan. Susunan dan aliran kenyataan dalam kes ini adalah sebahagian daripada transaksi,” kata Sri Ram.

Sri Ram juga berkata sekiranya ada mana-mana bahagian dalam kenyataan Mohd Hazem itu yang tidak memenuhi peruntukan undang-undang, beliau sendiri akan menarik balik kenyataan tersebut.

Menjawab isu itu, Hakim Collin Lawrence Sequerah yang mendengar kes berkenaan, berkata ketua pasukan pembelaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memetik satu kes yang memutuskan isu khabar angin harus diputuskan pada ketika berkenaan, bukan pada penghujung kes.

“Bagaimanapun, tiada keperluan untuk saya memutuskan bila saya boleh menangguhkannya,” kata hakim.

Muhammad Shafee kemudian menggesa mahkamah membuat keputusan sama ada perenggan yang dikatakan khabar angin itu perlu dikeluarkan ketika perkara berkenaan berbangkit.

“Kenyataan bersifat khabar angin tidak boleh dikemukakan semasa pemeriksaan utama atau pada bila-bila masa pun. Sesuatu yang tidak boleh diterima mahkamah tetap tidak boleh diterima mahkamah,” katanya.

Beliau dijangka menyambung hujahnya mengenai isu itu apabila prosiding bersambung pada Khamis.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan jawatannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 dakwaan pengubahan wang haram melibatkan wang dengan jumlah sama.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS