Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Veveonah panjat pokok sebab tiada talian bawah pokok, kata Azis
Diterbitkan:  Sep 8, 2020 2:02 PM
Dikemaskini: 6:05 AM

Bekas timbalan menteri dalam negeri Mohd Azis Jamman menyifatkan polemik berhubung isu Veveonah Mosibin menunjukkan kegagalan BN di Sabah.

Jelasnya, kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin dan Ahli Parlimen Kudat, Abdul Rahim Bakri merupakan manifestasi kegagalan Umno dan Bersatu dalam memahami isu utama kemudahan awam di Sabah selama ini.

"Video yang disiarkan Veveonah sepatutnya membuka mata pemimpin-pemimpin tersebut tentang usaha untuk membangunkan Sabah tetapi mereka gagal melihat perkara itu.

"Sebaliknya kedua-dua timbalan menteri itu memilih untuk membuli Veveonah dan membunuh karakter anak gadis itu yang cuba mengubah kehidupan masyarakatnya ke arah lebih baik.

"Tidak hairanlah kenapa selepas 26 tahun pemerintahan BN, Sabah masih ketinggalan kerana pemimpin-pemimpinnya yang masih dalam sindrom penafian, tidak mengakui kegagalan mereka, malah menyalahkan rakyat yang cuba membangkitkan masalah dihadapi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Zahidi berkata beliau memberikan laporan yang salah mengenai Veveonah kerana mendapat maklumat berkenaan daripada Abdul Rahim.

Ahli parlimen Kudat yang juga timbalan menteri kewangan itu bertindak balas dengan terus berusaha memperlekehkan Veveonah apabila berkongsi sumber maklumatnya.

Beliau memadamkan hantaran di Facebooknya selepas netizen mengkritiknya kerana menggunakan platform media sosial untuk menyasarkan pelajar berusia 18 tahun itu.

Veveonah patut dipuji

Jelasnya lagi, Zahidi dan Abdul Rahim tidak sepatutnya melihat isu Veveonah sebagai "Youtuber" yang kononnya hanya mereka-reka video untuk meraih populariti demi menarik tontonan.

Sebaliknya, kreativiti Veveonah dalam menghasilkan video itu sepatutnya mendapat pujian kerana dalam usia yang masih muda, anak gadis itu sudah mampu menjana pendapatan membiayai pembelajaran dan keluarganya.

"Sebagai seorang Youtuber dan pelajar, sudah tentu dia mengalami masalah untuk mengakses internet di tempatnya sampai terpaksa panjat pokok, panjat pokok sebab tiada talian di bawah pokok," katanya lagi.

Bagaimanapun, Zahidi pada hari ini menyuarakan hasrat mahu bertemu pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu susulan isu yang melanda mereka.

Katanya, isu yang berlaku itu gara-gara parti DAP yang mengambil kesempatan dan mempolitikkannya.

Dalam pada itu, Mohd Azis yang juga ahli parlimen Sepanggar berkata Sabah masih lagi berdepan masalah isyarat talian telefon, apatah lagi capaian internet.

"Jangan cerita Pitas pergi Kota Belud dari Kota Kinabalu pun kita akan merasai pengalaman talian terputus.

"Sedangkan di Kota Belud, Salleh Said Keruak pernah menjadi menteri komunikasi dan multimedia Malaysia, tetapi isunya bukan pada Salleh sebaliknya kegagalan Kerajaan Persekutuan selama ini menunaikan tanggungjawab menyediakan fasiliti di Sabah," kata Mohd Azis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS