Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan cadang perkenal caj 0.02% bagi pembelian atas talian

Kerajaan bercadang mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 0.02 peratus kepada pembeli yang melakukan pembelian dalam talian termasuk portal e-dagang seperti Lazada dan Shopee.

“Contohnya pembelian RM1,000 dikenakan 20 sen, atau 0.02 peratus.

“Jadi kita dapatlah gunakan wang itu untuk keselamatan (siber). Sebab kosnya pun mahal,” katanya.

Bagaimanapun, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin pihaknya belum menetapkan jumlah minimum pembelian yang membolehkan caj itu dikenakan.

"Perkara ini masih dalam perancangan peringkat kementerian sebelum dibentangkan dan pendekatan ini adalah salah satu untuk mencari sumber lain yang tidak membebankan rakyat.

"Caj perkhidmatan yang dikutip itu akan digunakan untuk penambahbaikan sistem keselamatan komunikasi untuk mengelak scammer dan pencerobohan siber.

"Ini bukan GST (cukai barang dan perkhidmatan) kerana sekarang ini, banyak pembelian atas talian tidak membayar cukai sekali gus menyebabkan kerugian dan ketirisan hasil kerajaan.

"Untuk mengenakan cukai ia rumit dan perlu diluluskan oleh parlimen menyebabkan kita perlu memperkenalkan caj perkhidmatan ini," katanya kepada media selepas merasmikan Program Komuniti @ Merdeka di Pengkalan Petah, Bachok, hari ini.

Sementara itu Zahidi yang juga anggota parlimen Padang Besar berkata, kebelakangan ini, banyak berlaku serangan siber di seluruh dunia akibat ketirisan data.

"Sebab itu sistem keselamatan siber di negara ini perlu dipertingkatkan dan diperkemaskan bagi mengelak ia berlaku.

"Justeru, kita perlu sama-sama membantu untuk menampung kos penambahbaikan komunikasi kerana ia membabitkan perbelanjaan besar," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS