Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
M'sia sekat pemegang pas lawatan jangka panjang dari 23 negara
Diterbitkan:  Sep 7, 2020 2:34 PM
Dikemaskini: 6:34 AM

Kerajaan tidak membenarkan pemegang pas lawatan jangka panjang dari 23 negara yang mencatatkan kes positif Covid-19 melebihi 150,000 untuk masuk ke Malaysia berkuat kuasa hari ini.

Menurut senarai yang dikeluarkan Jabatan Imigresen dalam hantaran di laman Facebook rasminya, negara terbabit ialah Amerika Syarikat, Brazil, India, Rusia, Peru, Colombia, Afrika Selatan, Mexico, Sepanyol, Argentina dan Chile.

Turut disenaraikan ialah Iran, United Kingdom, Bangladesh, Arab Saudi, Pakistan, Perancis, Turki, Itali, Jerman, Iraq, Filipina dan Indonesia.

Pada Selasa lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sekatan kemasukan pemegang pas lawatan jangka panjang dari India, Indonesia dan Filipina ke Malaysia bermula hari ini berikutan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di negara berkenaan.

Sekatan itu merangkumi enam kategori iaitu mereka berstatus pemastautin tetap (PR), Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), ekspatriat termasuk pemegang pas lawatan profesional (PVP) dan pemegang pas residen.

Turut disekat ialah pasangan kepada warganegara Malaysia dan anak-anak mereka serta pelajar dari ketiga-ketiga negara berkenaan yang ingin kembali ke Malaysia.

Dua hari selepas itu, Ismail Sabri mengumumkan keputusan kerajaan untuk menyekat kemasukan pemegang pas lawatan jangka panjang dari negara yang mencatatkan kes positif Covid-19 melebihi 150,000.

Menteri Pertahanan itu berkata pengecualian hanya diberikan bagi kes kecemasan atau urusan berkaitan hubungan dua negara, namun ia perlu mendapat kebenaran Jabatan Imigresen.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS