Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ras Adiba: Ramai orang 'tak sabar nak jadi OKU'

PARLIMEN | Senator Ras Adiba Radzi meluahkan rasa kecewanya apabila banyak kemudahan awam yang dikhaskan oleh orang kelainan upaya (OKU) digunakan pihak yang tidak berhak dipercayai berpunca kepada tiadanya penguatkuasaan.

Menyifatkan perkara tersebut sebagai “tidak sabar nak jadi OKU,” Ras Adiba berkata ramai yang ingin mengetahui status dan pencapaian pelan induk aksesibiliti yang diperkenalkan oleh kerajaan dan adakah ia akan diteruskan atau sebaliknya.

“Ketika ini aksesibiliti kemudahan dalam dan luar bangunan serta ruang awam di setiap kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) masih tidak memuaskan. Banyak lagi kemudahan awam yang tidak mesra OKU.

“Bukan itu sahaja, kemudahan kami sering disalahgunakan oleh orang bukan OKU seperti meletak kenderaan di parkir kami, menjadikan tandas kami sebagai stor simpan dan sebagainya.

“Ia seolah-olah ramai di luar sana tidak sabar menjadi sebahagian daripada kami, tidak sabar nak jadi OKU.

“Jelas, tidak ada penguatkuasaan adalah punca utama berlakunya perkara seperti ini,” katanya di Dewan Negara ketika membahaskan ucapan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong.

Tambah Ras Adiba, dia juga meminta kerajaan menaik taraf kemudahan asas dan infrastruktur di insitutsi pengajian tinggi dan sekolah secara berperingkat.

Menyentuh mengenai isu sektor pekerjaan dan pengangguran dalam kalangan OKU, senator mewakili OKU di Dewan Negara itu berkata syarikat swasta wajar memberi peluang kepada golongan terbabit bekerja.

Tambahnya, matlamat kerajaan dalam memastikan 1 peratus OKU dalam kerajaan juga masih tidak dicapai walaupun sudah tiga dekad berlalu sejak ia dinyatakan.

“Saya sendiri mengalami diskriminasi dan disisihkan selama enam tahun selepas menjadi OKU.

“Majikan lama saya tidak memberi saya peluang untuk saya kembali berkhidmat. Mungkin kerana saya tidak seperti dahulu - tidak boleh berdiri, tidak boleh bergerak dan mungkin tidak semanis dahulu.

“Sukar saya bukan kepalang.. saya hanya makan nasi bercampur garam dan meminum air paip selama enam tahun," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS