Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zahid Md Arip: Saya bukan pencetus 'Langkah Sheraton'
Diterbitkan:  Sep 7, 2020 1:08 PM
Dikemaskini: 5:08 AM

Senator Muhammad Zahid Md Arip, bekas setiausaha politik Dr Mahathir Mohamad, menafikan tuduhan menjadi pencetus "Langkah Sheraton" yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun Zahid mengakui bersama pihak lain terbabit dalam gerakan menyekat Presiden PKR Anwar Ibrahim dan DAP serta mendakwa mendapat restu Mahathir yang ketika itu perdana menteri.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memperbetulkan tuduhan tidak tepat dan tidak benar sama sekali ke atas saya.

"Saya bukanlah pencetus kepada Langkah Sheraton. Tetapi, saya mengakui bersama beberapa teman yang lain terbabit menggerakkan langkah politik menyekat Anwar (Ibrahim) dan DAP dengan restu YAB perdana menteri Malaysia ketujuh.

"Selebihnya, ia sudah menjadi sejarah dan biarlah saya simpan demi hormat saya kepada Tun Dr Mahathir seorang negarawan terbilang dan ulung, yang jasanya kepada bangsa dan negara cukup besar," katanya ketika membahaskan ucapan menjujung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong sempena persidangan Dewan Negara hari ini.

Pada 5 Mac lalu, bekas Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa Muhammad Zahid menjadi dalang yang mengatur pertemuan pemimpin parti politik di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, pada 23 Februari lalu.

Syed Saddiq berkata, beliau sendiri turut diminta menghadiri perjumpaan itu yang kononnya diarahkan Mahathir.

“Nama Tun Mahathir dipetik supaya pimpinan Bersatu menghadiri perjumpaan di hotel berkenaan, namun beliau kemudiannya menegaskan tidak tahu mengenai perjumpaan itu.

“Pengkhianat sebenar kepada apa yang berlaku adalah Muhammad Zahid kerana dia memetik nama Tun banyak kali supaya ahli parlimen Bersatu menghadiri perjumpaan malam itu,” kata Syed Saddiq.

Dalam pada itu Muhammad Zahid berkata, secara peribadi beliau yakin Mahathir gembira dengan "Langkah Sheraton" kerana usaha untuk menyekat kemaraan Anwar dan DAP berjaya.

"Apa pun saya pasti, secara peribadi Tun Dr Mahathir pastinya menjadi orang yang paling gembira dewasa ini.

"Cuma kegembiraan beliau itu tidak terzahir serta tidak terucap. Matlamat beliau yang tidak mahu Anwar menggantikannya dan serta matlamat untuk mengekang kemaraan DAP sudah pun tercapai dengan jaya," katanya lagi.

Beliau juga menyifatkan peletakan jawatan Mahathir sebagai perdana menteri adalah ketentuan ilahi.

"Ramai yang bertanya kepada saya kenapa Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan.

“Jawapan saya, selain qada dan qadar, Allah SWT juga sudah menetapkan bahawa sudah tertulis sejak azali lagi peletakan jawatan Tun Dr Mahathir adalah kerana rezeki Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi perdana menteri Malaysia kelapan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS