Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin berkata dia memberikan laporan yang salah mengenai Veveonah Mosibin kerana mendapat maklumat berkenaan daripada Anggota Parlimen Kudat, Abdul Rahim Bakri.
Abdul Rahim pula, kata Zahidi, memperoleh maklumat tersebut daripada pensyarah Veveonah di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Justeru, bagi menjawab pertikaian mengenai kontroversi membabitkan dirinya - ketika kementerian terbabit mempromosikan slogan “Tidak Pasti, Jangan Kongsi" - Zahidi berkata dia beranggapan maklumat berkenaan tidak perlu disemak semula kerana ia disalurkan oleh ahli parlimen yang juga timbalan menteri kewangan.
“[...] kerana sudah jadi amalan di parlimen, yang pertama, kita rujuk wakil rakyat dan apabila rujuk wakil rakyat, apa isu ditimbul wakil rakyat akan dijawab oleh menteri dan timbalan menteri.
“Maka, wakil rakyat tersebut (Abdul Rahim) dah maklum kepada kita dan dia dapat maklumat daripada pensyarah," katanya dalam sidang media di parlimen hari ini.
Zahidi yang juga ahli parlimen Padang Besar berkata dalam isu tersebut, dia tidak melihat apa perlunya Abdul Rahim - pemimpin Umno yang kini menjadi wakil rakyat Bersatu - menipu ataupun memberikan maklumat tidak benar.
“Maka kita percaya pada maklumat tersebut,” katanya.
Zahidi menjadi kecaman orang ramai selepas mendakwa Veveonah sebenarnya tidak mengambil peperiksaan semasa berita mengenainya - yang terpaksa memanjat pokok bagi mendapatkan liputan Internet - tersebar.
Kena semak dua tiga kali
Kata Zahidi Veveonah melakukan hal tersebut untuk membuat kandungan bagi salurannya di YouTube.
Bagaimanapun Veveonah menafikan dakwaan Zahidi malah menunjukkan jadual peperiksaan diambilnya di UMS.
Personaliti YouTube itu terpaksa mengambil peperiksaan secara dalam talian kerana negara melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) ekoran ancaman wabak Covid-19.
Zahidi kemudian mengakui dia memberikan maklumat salah semasa memberikan penjelasan isu berkenaan di Dewan Negara dan memohon maaf.
Menurut Zahidi dia akan ke UMS untuk bertemu pensyarah, kakitangan UMS dan Veveonah bagi mendapatkan maklumat sebenar sebagai langkah menyemak semula maklumat tersebut.
“Dalam isu tidak pasti jangan kongsi ini, kena check (semak) dua tiga kali lagi. Maka kita check dan periksa sekali lagi.
"Kalau didapati maklumat itu (silap) maknanya ada salah faham, kita minta maaflah dan kita sepatutnya... pensyarah tersebut tak sepatutnya beri maklumat tidak benar,” katanya.
Baca UMS tawar biasiswa untuk Veveonah sambung pengajian
Zahidi turut mengkritik DAP kerana didakwanya mempolitikkan isu tersebut, termasuk veteran parti terbabit, Lim Kit Siang.
Semalam, Lim berkata Zahidi wajar dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negara klerana memberikan kenyataan salah serta menyifatkan alasan yang "paling lemah".
Kata Zahidi, DAP dianggap sudah bankrap idea, kecewa dan mahu mengalihkan isu Veveonah untuk mendapat keuntungan politik.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas daripada Abdul Rahim dan UMS berhubung perkara ini.