Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
California terbakar: 5,300 ekar musnah, 10 bangunan dijilat api
Diterbitkan:  Sep 7, 2020 11:43 AM
Dikemaskini: 3:44 AM

GLOBAL | Kira-kira 5,350 ekar kawasan lembah di daerah San Diego, California terbakar sekaligus memusnahkan kebanyakan struktur dan mengancam penduduk setempat, menurut Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California (Cal Fire).

Menurut Cal Fire hanya satu peratus sahaja kawasan kebakaran berjaya dikawal.

Keadaan itu mengancam kawasan lembah termasuk Carveacre, Lawson,Wood , Lyons, Deer Horn dan Sycuan Indian Reservation," tulis Cal Fire di Twitter pada Ahad.

Terdahulu, Cal Fire melaporkan seluas 4,000 ekar kawasan terbakar dan sekurang-kurangnya 10 bangunan musnah, lapor agensi berita Sputnik.

Menurut Cal Fire, pasukan bomba "berusaha melawan suhu panas yang melampau, kelembapan rendah dan tiupan angin."

San Diego Gas and Electric (SDG & E) berkata di Twitter pada Sabtu, lebih 12,000 pelanggannya mengalami gangguan bekalan elektrik. Angka itu kemudian dikemas kini, dan jumlah rasmi menunjukkan hanya 1,000 pelanggan terjejas.

Menurut maklumat terkini Cal Fire pada Ahad, hampir 14,800 anggota bomba bertungkus lumus memadamkan 23 kebakaran besar di California dengan lebih 10,500 orang dipindahkan.

Sejak 15 Ogos, California telah menyaksikan lebih 900 kebakaran besar memusnahkan lebih 1.6 juta ekar kawasan, menurut Cal Fire. Sekurang-kurangnya lapan orang maut dan hampir 3,300 bangunan musnah.

Presiden AS Donald Trump pada 22 Ogos meluluskan pengisytiharan bencana besar di California.

Dua kebakaran besar di California membabitkan kompleks pencawang elektrik SCU dan LNU yang menjadi insiden kebakaran kedua dan ketiga terbesar dalam sejarah negeri masing-masing.

Kawasan SCU seluas 396,624 ekar terbakar dan setakat ini 88 peratus berjaya dipadamkan manakala 375,209 ekar kawasan LNU dijilat api dan 89 peratus kebakaran berjaya dikawal.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS