Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Tidak berapa lama lagi, Sabah akan memilih. Lensa politik mula beralih ke arah negeri di bawah bayu itu bagi mencerap kecenderungan penduduk dalam pilihan raya negeri (PRN) yang dijadualkan 26 September.

Selain pemastautin, orang-orang Sabah di perantauan, tidak ketinggalan turut menjadi perhatian. Apakah mereka akan pulang menjalankan tanggungjawab? Apakah tiket sudah dibeli? Ataukah ramai yang memilih untuk tidak turut serta dalam PRN kali ini?

Bagi Yong Ming Fatt, 24, ini kali pertama dia akan membuang undi, justeru dia tidak dapat menyembunyikan rasa teruja untuk pulang menjalankan tanggungjawab dalam PRN nanti, meskipun negara masih belum bebas daripada wabak Covid-19.

Dia akan mengundi di Keningau.

“Memang orang bilang Covid masa sekarang, tapi kita kena tahu hak-hak Sabah kita. Kalau kita sebagai rakyat tak mengundi jadi kita tak akan dapat apa yang kita mahu dekat Sabah, apa yang kita mahu majukan dekat Sabah, tak dapat.

“Jadi kita kena mengundi biarpun macam mana pun,” katanya kepada Malaysiakini baru-baru ini.

Yong Ming Fatt

Secara peribadi, bagi tukang masak sebuah hotel di Seri Kembangan itu, dia mahu PH menang.

Katanya, dia melihat banyak perubahan dalam hampir dua tahun pentadbiran PH berbanding zaman BN, yang katanya tidak berjaya membawa perubahan.

Antaranya, masalah jurang pendapatan antara Sabah dan semenanjung yang didakwanya tidak pernah dapat diselesaikan, sehingga memaksa ramai anak-anak muda Sabah sepertinya merantau ke semenanjung bagi mencari rezeki dengan gaji lebih tinggi.

Untuk rekod, Sabah merupakan negeri yang mencatatkan pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah (median) kedua paling rendah di Malaysia selepas Kelantan, iaitu pada angka RM4,235.

Meskipun katanya keadaan politik negara buat masa ini “sangat teruk”, dia tidak patah semangat untuk mengundi, malah katanya, ramai rakannya di luar negara tetap mengundi melalui undi pos.

Nasihatnya buat calon-calon bertanding, jangan cakap besar dengan janji-janji yang “terlebih”, kerana katanya, jika menang nanti, janji mereka sendiri yang akan “terkena batang hidup sendiri”.

Pada Julai tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul tambahan 13 kerusi DUN untuk Sabah, menjadikan PRN kali ini mempunyai 73 kerusi DUN berbanding hanya 60 kerusi pada PRU-14 lalu.

Dianggarkan, terdapat kira-kira 25,000 penduduk Sabah yang kini menetap di luar negeri, dengan kebanyakannya dianggarkan tinggal di sekitar Kuala Lumpur, Johor dan Singapura.

Berdasarkan kenyataan SPR, 1.12 juta- daripada 3.91 juta penduduk Sabah- telah mendaftar sebagai pengundi, dan daripada jumlah itu, SPR menganggarkan 70 peratus akan keluar mengundi kali ini.

Seandainya undi pos...

Tidak semua orang berkongsi keterujaan Yong, seperti Fazilah Harun, 24 yang kini menetap dan bekerja di Pulau Pinang.

Harga tiket kapal terbang antara yang menjadi penghalang untuk pulang ke kampung halaman, selain kesibukan mencari rezeki di negeri orang.

“Seandainya undi melalui pos dilaksanakan, saya kira ia amat membantu rakyat Sabah yang kini berada diluar negeri (untuk) memberikan undian mereka,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Fazilah Harun

Malah, Fazilah berasakan keterujaan orang Sabah yang menetap di semenanjung untuk pulang mengundi kali ini, tidak begitu memberangsangkan, dek kerana muak dengan janji-janji manis wakil rakyat.

“Jika sewaktu pilihan raya, kita lihat ramai calon yang bertanding hanya melemparkan pelbagai janji manis, namun setelah menang pilihan raya, mereka seolah-olah memperjuangkan kebajikan tersendiri sahaja.”

Buat calon-calon bertanding, pesan Fazilah, berilah perhatian terhadap isu kebajikan rakyat Sabah yang masih ramai terpinggir, terutamanya dalam aspek peluang pekerjaan.

Harga tiket kapal terbang pernah dilaporkan mengalami peningkatan mendadak dua bulan lalu ketika pesawat belum dibenarkan beroperasi dalam kapasiti penuh, terutamanya ke Sabah dan Sarawak, malah ada yang dilaporkan mencecah ribuan ringgit sehala.

Berdasarkan pemeriksaan terkini, harga tiket didapati sudah kembali turun, dan masih boleh dibeli pada harga bawah RM200 ke Sabah dan Sarawak.

Pun begitu, untuk sebahagian rakyat, jumlah itu masih membebankan, terutamanya mereka yang kehilangan punca pendapatan gara-gara wabak Covid-19 dan dihimpit kesempitan ekonomi.

Isu tiket kapal terbang yang dianggap membebankan turut dikongsi Ivy Lojitan, 55 yang menetap di Putrajaya.

 Ivy Lojitan

Bagaimanapun, balu anak tiga yang tidak bekerja itu beruntung apabila mendapat bantuan daripada rakan dan keluarga bagi membeli tiket kapal terbang untuknya dan seorang lagi anaknya bagi melunaskan tanggungjawab mereka dalam PRN nanti.

Tanpa dolak-dalih, katanya, berbanding mengundi, dia lebih teruja untuk balik berjumpa keluarga dan rakan di kampung halaman, namun mengaku bimbang tentang prosedur operasi standard PRN dalam zaman Covid-19.

Katanya, sebilangan besar rakan-rakannya turut akan pulang mengundi, namun ada juga yang tidak balik kerana berdepan kekangan kewangan gara-gara kehilangan kerja akibat wabak Covid-19.

SPR sebelum ini telah memberi jaminan akan mengutamakan SOP.

'Jangan lompat-lompat'

Buat calon terpilih, Ivy mahu mereka menjadi suara rakyat Sabah.

“Jangan khianati undi kami. Jangan suka-suka lompat-lompat,” katanya yang akan pulang ke Penampang.

Julai lalu, bekas ketua menteri Musa Aman mengumumkan mempunyai sokongan mencukupi daripada Adun untuk membentuk kerajaan negeri baru.

Bagaimanapun ‘rampasan kuasa’ itu gagal apabila ketua menteri Shafie Apdal membubarkan DUN selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiaddin.

Ini membuka jalan untuk pilihan raya mengejut diadakan, dan mendorong Musa dan 32 Adun lain memfailkan semakan kehakiman terhadap pembubaran itu.

Permohonan itu ditolak 21 Ogos lepas, dan Mahkamah Rayuan menetapkan 7 September ini untuk mendengar permohonan untuk menggantung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung pembubaran DUN Sabah.

Ada juga yang lebih bernasib baik apabila mendapat tajaan daripada “sumber tertentu” bagi menampung kos tinggi tiket kapal terbang untuk pulang semasa PRN nanti, seperti lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Norman, 24.

Seperti Fazilah, katanya, dia berasakan tidak ramai perantau Sabah akan pulang semata-mata untuk mengundi dalam PRN kali ini, melainkan ada pihak yang sanggup menaja tiket kapal terbang, pergi dan balik untuk mereka.

“Itu platform yang memudahkan kita untuk balik, jadi kita terimalah. Tapi benda itu bukanlah (maksudnya) menggalakkan apa-apa suapan ke apa,” katanya yang kini bekerja di Selangor.

“Undi tetap rahsia. Jadi siapa-siapa pun kita undi, itu terserah kepada diri kita,” katanya yang berkata tawaran tajaan tiket kapal terbang itu dapat meminimumkan kos belanja, lebih-lebih lagi terdapat ramai orang yang terjejas pendapatan pada masa kini.

"[...] Ini tak bermakna kita terikat dengan apa-apa tawaran daripada sumber itu, ” katanya yang turut ditaja pulang semasa mengundi kali pertama dalam PRU lepas oleh sebuah parti politik.

Jangkaannya, PRN kali ini, Warisan akan kembali mentadbir negeri, berdasarkan nama Shafie yang menurutnya cukup besar dan berpengaruh di Sabah pada masa ini.

‘Tak teruja langsung’

Malah, seorang pekerja sektor perhotelan di Port Dickon yang hanya mahu dikenali sebagai Jeffrey, 35, berkata dia tidak akan pulang mengundi jika tiket dan perbelanjaannya harus ditanggung sendiri.

“Tak teruja langsung. Kenapa saya perlu teruja dengan kerakusan mereka untuk mendapatkan undi kami,” soalnya ketika ditanya tentang perasaannya menanti PRN Sabah.

“Hampir-hampir patah harapan dengan pemimpin-pemimpin yang rakus dan pentingkan poket masing-masing”, tambahnya yang tinggal bersama isteri dan dua adik iparnya di Port Dickson, dan sepatutnya mengundi di Kota Marudu.

Bagi Jeffrey, hal-hal yang harus ditumpukan calon dalam kempen nanti ialah isu kemudahan jalan raya, bekalan air bersih, dan bekalan elektrik di pedalaman- semua itu merupakan hal-hal yang sudah lama dijanjikan, namun katanya, janji hanya tinggal janji.

Daripada nadanya, Jeffrey tidak dapat menyembunyikan rasa jelak dengan perkembangan politik semasa.

“Empat bulan tak ada kerja semasa Covid-19 ini, Nak makan pun payah, inikan pula nak balik Sabah nak beli tiket. Haha. Ini kelakar,” luahnya sinis, tetapi enggan mengulas lebih lanjut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS