Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dalai Lama jadi panel forum Islam-Buddha anjuran Abim

Sebagai usaha membina keharmonian antara agama, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) akan menampilkan Dalai Lama dalam sebuah forum dalam talian berkenaan Islam dan Buddha yang dijadual akhir bulan ini.

Presiden Abim Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata forum bertemakan Compassion & Mercy As The Common Values Between Islam & Buddhism turut menampilkan Shaikh Kulliyah Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac), Prof Emeritus Osman Bakar.

Faisal berkata Abim berpendirian apa-apa pandangan berbeza tentang agama wajar dibincangkan dalam platform yang sesuai dengan matlamat ke arah kebijaksanaan dan kebenaran.

Katanya, debat seumpama itu tidak seharusnya diadakan secara rawak dan dengan cara yang boleh menyinggung perasaan mana-mana pihak dalam masyarakat.

"Kini kita dapati sering dikelilingi unsur Islamofobia yang dicetuskan oleh pihak tidak bertanggungjawab, dan kita harus melibatkan diri dalam dialog harmoni dengan pelbagai komuniti sebagai mekanisme menjelaskan Islam dan sumbangan agama ini ke arah kehidupan bersama secara aman," katanya kepada Malaysiakini.

Maka, Abim merasakan kita perlu melihat perspektif yang lebih besar, iaitu bagaimana kepelbagaian agama dapat menjadi aset kepada keharmonian dan kesatuan, bukan faktor kepada konflik," katanya lagi.

Forum dalam talian itu dijadual berlangsung pada 28 September ini dengan Presiden Pusat Budaya Buddha Tibet Casey Liu sebagai pengacara dan moderator bersama.

Dalai Lama merupakan pemimpin spritual dalam agama Buddha. Tenzin Gyatso, yang merupakan Dalai Lama ke-14, merupakan penyokong dialog antara agama dan hidup dalam buangan di india sejak Pemberontakan Tibet 1959.

Pada 2010, dia bersama-sama sejumlah cendekiawan melancarkan Common Ground Project, idea yang dicetuskan putera Jordan Ghazi Muhammad berdasarkan buku Common Ground between Islam and Buddhism.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS