Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kementerian dalam usaha ganti warga asing dengan Orang Asli di ladang sawit

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam usaha menggantikan pekerja warga asing di ladang kelapa sawit dengan rakyat tempatan yang terdiri daripadan Orang Asli.

Menterinya, Mohd Khairuddin Aman Razali berkata perbincangan telah diadakan bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan latihan akan turut diberikan.

“Perbincangan telah dibuat dengan Jakoa bagi menarik orang asal bekerja di ladang dengan latihan diberikan oleh Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (Impac).

“Syarikat agensi pekerjaan juga dijemput membantu Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi mempromosi pekerjaan di ladang kepada warga tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dia turut menyifatkan bahawa krisis pandemik Covid-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia, yang mengehadkan jumlah pengambilan pekerja warga asing sebagai membuka ruang untuk warga tempatan dalam menceburkan diri di ladang kelapa sawit.

“Pendapatan sebagai pengait buah sawit boleh memberi pulangan sehingga RM3,000 sebulan dengan kediaman disediakan.

“Dalam keadaan harga buah tandan segar sawit (BTS) sekarang lebih daripada RM600 per tan berbanding sebelumnya sekitar RM300 sahaja, syarikat perladangan dan pekebun kecil boleh dan mampu menggaji warga tempatan untuk bekerja berbanding warga asing,” katanya.

Projek perintis

Dalam pada itu, Jakoa memaklumkan perbincangan bersama kementerian berhubung usaha itu melibatkan projek perintis yang akan memberi tumpuan di Pahang dan Gerik, Perak.

Pegawai perhubungan awam Jakoa, Muhammad Syurahnabil Hashim berkata jabatan itu kini sedang mendapatkan senarai dari komuniti Orang Asli yang berminat dalam rancangan itu.

“Lanjutan daripada mesyuarat bersama kementerian, Jakoa akan buat projek perintis di Perak khususnya Grik, dan Pahang.

“Buat masa ini, Jakoa sedang mengatur perjumpaan bersama komuniti Orang Asli untuk menghebahkan dan memaklumkan kepada Orang Asli dan mendapatkan nama-nama masyarakat Orang Asli yang berminat,” katanya kepada Malaysiakini

Khairuddin berkata latihan akan diadakan di Pusat Latihan Sawit (Plasma) dan Institut Latihan Perladangan dan Komoditi (Impac) di bawah kementeriannya.

Katanya lagi, pada masa ini pihaknya giat membuat promosi untuk rakyat tempatan bekerja di ladang.

“Semua syarikat perladangan dengan kerjasama kementerian sudah membuat promosi dan tawaran untuk rakyat tempatan bekerja di ladang. Angka (mereka yang sudah mendaftar untuk bekerja di ladang) akan dimaklumkan kemudian kerana masih dalam proses,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS