Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengacara TV harap Kelantan, S'gor segera selesaikan masalah air
Diterbitkan:  Sep 6, 2020 11:50 AM
Dikemaskini: 3:53 AM

Pengacara dan personaliti televisyen Amin Idris menyuarakan harapan agar kerajaan Selangor dan Kelantan agar segera menyelesaikan masalah bekalan air di dua negeri itu.

Kenyataannya itu susulan gangguan bekalan air di Selangor dan Kuala Lumpur yang terbaru dan perhatian pelbagai pihak terhadapnya.

“Kerajaan Selangor pimpinan Menteri Besar Amirudin Shari selesaikanlah masalah air di Selangor cepat-cepat.

“Begitu juga kerajaan Kelantan pimpinan Ustaz Ahmad Yakob, selesaikanlah masalah air di Kelantan cepat-cepat. Kasihan kepada rakyat," katanya di Facebook hari ini dengan dialek Kelantan.

Sejak 2019, Selangor dan Kuala Lumpur telah mengalami sekurang-kurangnya lima gangguan bekalan air. Gangguan terbaru sejak 3 September mengundang kemarahan ramai di media sosial, memandangkan ia sentiasa berulang.

Menurut laporan, gangguan kali ini berpunca daripada pembuangan bahan tercemar oleh sebuah kilang di Sungai Gong, yang kemudiannya mengalir ke Sungai Sembah, iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor.

Pihak berkuasa telah menutup sebuah kilang penyelenggaraan jentera berat di Rawang yang disyaki menjadi punca gangguan. Empat lelaki pemilik kilang itu juga telah direman enam hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.

Antara pihak yang menyuarakan kritikan adalah PAS Selangor yang menyifatkan pentadbiran PH di negeri itu gagal menangani masalah tersebut.

Cadange ambo dalam isu air di Selangor, molek jugok saing-saing dalam Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat 'slow sikit...

Posted by Amin Idris on Sabtu, 5 September 2020

Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi yang menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan lebih tegas terhadap pihak yang menjadi punca pencemaran sungai.

Bagaimanapun kenyataan itu dipandang sinis sejumlah warga maya - antaranya menerusi balasan terhadap ciapan PAS Pusat berkenaan perkara itu - yang membandingkan masalah air di Selangor dengan Kelantan.

Amin tampak mempunyai sentimen sama dengan membangkitkan masalah air di Kelantan yang menurutnya telah berlanjutan banyak tahun.

Katanya, masalah pencemaran di Selangor juga tidak boleh dibandingkan dengan masalah infrastruktur bekalan air di Kelantan.

“Cadangan ambo dalam isu air di Selangor, molek juga kawan-kawan dalam PAS Pusat slow sikit part ngonar (jangan terlalu cepat membuat kritikan).

“Nanti keno backfire...Biar selesai dulu masalah air di Kelate, bukan empat hari tapi bertahun dah," katanya lagi.

Penduduk di Kelantan sering berhadapan dengan bekalan air yang sering terputus dan tahap kualiti air yang rendah.

Pada 5 Julai lalu, Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata masalah itu akan diselesaikan secara menyeluruh dengan berperingkat menerusi projek tebatan banjir, penggantian saluran paip dan naik taraf logi, dengan sasaran penyelesaian menyeluruh "antara 30 hingga 40 tahun akan datang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS