Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
WHO iktiraf sistem kesihatan Malaysia - Dr Noor Hisham
Diterbitkan:  Sep 5, 2020 6:54 PM
Dikemaskini: 10:54 AM

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai sistem kesihatan yang kuat dan liputan yang sejagat (UHC), kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata dalam sorotan berita WHO semalam, sistem kesihatan di Malaysia juga diiktiraf mempunyai asas yang kukuh dalam menangani pandemik Covid-19 melalui pengalaman lepasnya.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menghargai pengiktirafan WHO ini dan terus komited dalam memperkukuh sistem kesihatan negara bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara," menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Noor Hisham juga berkata WHO dalam satu sidang media pada hari sama menegaskan bahawa vaksin adalah berkesan dalam membendung penularan penyakit seperti cacar air, polio dan sebagainya.

"Namun begitu, keberkesanan dan keselamatan vaksin adalah faktor penting dalam penggunaan vaksin.

"Perkara ini tidak boleh diambil ringan dan justeru itu, bagi menjamin faktor-faktor tersebut, vaksin perlu melalui beberapa ujian dan fasa," katanya.

Beliau berkata sehingga hari ini, masih tiada vaksin Covid-19 yang disahkan berkesan dan selamat oleh WHO.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS