Kes baru Covid-19 hanya satu angka dengan enam kes, setakat 12 tengah hari tadi menjadikan jumlah kumulatif kini 9,391 kes, maklum Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Kes baru itu, katanya melibatkan dua kes penularan dalam negara dan empat kes import
Menurut beliau lagi, dua kes penularan dalam negara itu melibatkan warga tempatan iaitu masing-masing penambahan satu kes baru daripada Kluster Telaga dan kes 'Severe Acute Respiratory Infection' (SARI) di Hospital Lahad Datu, Sabah.
Beliau berkata empat kes import pula dilaporkan di Wilayah Persekutuan yang masing-masing mendapat jangkitan di Pakistan, Angola, India dan Bangladesh, melibatkan dua warga tempatan dan dua rakyat asing.
"Ini menjadikan jumlah kes positif sebanyak 9,391 kes serta jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 150 kes," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menjelaskan lanjut mengenai Kluster Telaga, beliau berkata pertambahan satu kes baharu di Kedah itu merupakan kontak rapat kepada kes ke-9284 di Hospital Sultanah Bahiyah, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 dalam kluster tersebut sebanyak sembilan kes.
"Beliau didapati positif Covid-19 semasa saringan yang dijalankan pada 3 Sept," katanya.
Menurut Noor Hisham lagi, terdapat lima kes di unit rawatan rapi (ICU) dengan tiga pesakit memerlukan bantuan pernafasan.
Sementara itu, 21 kes pulih hari ini dengan jumlah kumulatif pulih 9,113 kes, manakala jumlah kematian kekal 128 orang.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.