Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Parti Syed Saddiq: Antara impian anak muda dan mimpi ngeri politik

Usaha Anggota Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menubuhkan parti berteraskan golongan belia dilihat mengundang pelbagai reaksi pemerhati politik.

Malah ada ahli akademik yang dihubungi Malaysiakini berasa gerakan yang bakal ditubuhkan bekas menteri belia dan sukan itu tidak akan berjaya.

Penganalisis politik Dr Jeniri Amir malah mempersoalkan kredibiliti ahli parlimen itu -yang disifatkan masih kurang pengalaman-untuk meraih sokongan belia.

“Bagaimana mungkin seorang yang masih hijau (mentah) berupaya untuk menyakinkan rakyat di negara ini. Saya akui hakikat golongan muda 46 peratus dalam negara tetapi sokongan anak muda semata-mata tidak akan memadai.

“Bagi saya, Syed Saddiq tidak perlu bermimpi untuk memperoleh sokongan padu dalam golongan muda kerana dia hanya akan dapat mimpi ngeri,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Selain itu, Dr Jeniri turut menambah Syed Saddiq harus bersandarkan realiti landskap dan demografi negara dalam menubuhkan sebuah parti politik.

“Dalam politik, ilham dan inspirasi tak salah tetapi harus bersandarkan realiti landskap dan demografi politik negara.

“Tetapi ini, Syed Saddiq seperti berada dalam alam Etopia dengan angan-angan besar,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Senada dengan Dr Jeniri, Prof Rusdi Omar dari Universiti Utara Malaysia (UUM) turut mempunyai pandangan yang sama.

Tambah Rusdi, lebih elok sekiranya Syed Saddiq hanya menubuhkan NGO berpaksikan belia dari sebuah parti politik.

“Saya rasa lebih elok kalau Saddiq tubuh NGO dari parti politik berasaskan belia kerana sukar untuk dia berjaya dengan hanya sokongan anak muda.

“Dia perlu lihat kepada golongan tua yang juga mengundi,” katanya.

Rusdi juga bercadang, sekiranya Syed Saddiq masih ingin menubuhkan parti politik berasaskan anak muda, ia harus melangkaui semua parti sedia ada.

“Mungkin memperkukuh hubungan dengan sokongan Khairy Jamaluddin Nurul Izzah Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli yang juga lantang bersuara demi anak muda,” katanya lagi.

Untuk rekod, Syed Saddiq menyifatkan partinya itu akan terdiri daripada pemimpin muda dari pelbagai kaum yang faham teknologi, dasar inovatif serta komitmen untuk membuktikan gerakan politik boleh bertahan tanpa perkaitan dengan kroni atau taikun.

Dalam wawacara bersama Malaysiakini, anggota parlimen Muar itu menekankan "platform, gerakan atau mungkin juga parti" yang ingin dibawanya akan mengutamakan kepelbagaian.

Anggota gerakan itu, dipanggil "Muda Malaysia" pada masa ini.

Terdahulu Dr Mahathir berpendapat langkah dicatur bekas menteri belia dan sukan itu - yang mahu memulakan gerakan baru politik negara - tidak akan berjaya.

Malah Dr Mahathir beranggapan model yang dibawa Syed Saddiq itu tidak sesuai.

Mungkin ada impak besar di persada politik

Sementara itu, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi pula berkata usaha Syed Saddiq perlu disokong kerana membantu perkembangan demokrasi negara.

“Parti ini perlu diraikan kerana membantu menyuburkan lagi perkembangan demokrasi negara.

“Sebagai parti baru ia tidak terlepas daripada kritikan kerana masih dianggap lemah kerana masih terlalu baru, tidak lagi struktur parti dan kepimpinan yang jelas,” jelasnya.

Bagaimanapun, Prof Dr Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula berkata jika strategi yang dilancarkan anggota parlimen itu berkesan ia mungkin dapat beri impak kepada senario politik tempatan.

“Mengapa saya berpendapat sedemikian ialah kerana pengundi anak muda dan berkemungkinan akan bertambah 8 juta pengundi baru jika diambil kira faktor umur 18 tahun had umur dan partinya bakal digemari mereka,” katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS