Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rina: Srikandi hantar 10 nama untuk calon PRN Sabah

Srikandi Bersatu menyenaraikan 10 nama calon wanita daripada sayap itu untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 Sept ini.

Ketuanya Rina Harun berkata senarai itu telah dihantar kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk diputuskan.

"Saya telah hantar nama-nama calon wanita ini dan kita mahu calon daripada sayap wanita bertanding pada PRN Sabah ini.

"Keputusannya kita tunggu presiden parti (Muhyiddin) mengumumkannya, saya tidak boleh mendahului presiden saya," katanya.

Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis makan malam sempena program sentuhan kasih Srikandi Bersatu di Tawau, malam tadi.

Menurut Rina, setakat ini rundingan antara parti dengan rakan sekutu bagi agihan kerusi masih dijalankan dan belum diketahui jumlah sebenar kerusi yang akan ditandingi Bersatu.

"Cuma saya harapkan sebagai sebuah parti yang begitu prihatin kepada rakyat dan wanita, saya yakin akan ada calon wanita nanti," katanya.

Dalam pada itu, Rina berkata jentera Srikandi Sabah dibawah pimpinan Ketua Srikandi Bersatu Sabah Azizah Mohd Dun sudah bersiap sedia menghadapi PRN kali ini.

Katanya, sayap wanita itu sudah mula mendekati pengundi di Sabah sejak awal penubuhan parti itu dan momentum itu akan diteruskan pada PRN hujung bulan ini.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS