ULASAN | Seperti kata pepatah "tabiat lama sukar untuk dihapuskan", pengabaian terhadap isu-isu alam sekitar mungkin akan muncul kembali pada era pasca-Covid-19 setelah wabak itu seolah-olah 'menangani' isu sebelumya.
Usaha luar kotak seharusnya dilakukan sekarang untuk memastikan bahawa aktiviti ekonomi akibat kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) tidak menggagalkan objektif untuk mencapai keseimbangan jangka panjang antara kelestarian ekonomi dan alam sekitar, terutamanya pada era pasca-Covid-19.
Tanpa keseimbangan ini, era pasca-Covid-19 akan memaparkan lebih banyak gangguan terhadap alam sekitar seperti yang telah berlaku sebelum bermulanya pandemik.
Sesungguhnya, penutupan perniagaan yang menghambat beberapa aktiviti ekonomi gara-gara pelaksanaan beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat telah mengakibatkan kesuraman prestasi ekonomi pada suku kedua tahun ini.
Satu-satunya ketenangan yang wujud adalah keadaan Bumi yang baik-baik sahaja pada waktu itu kerana dengan selesanya menikmati pelepasan karbon yang rendah selama beberapa bulan.
Tetapi persoalan sebenarnya di sini adalah bagaimanakah kita mencapai keseimbangan antara kelestarian ekonomi dan alam sekitar yang bermanfaat dan adil bagi kedua-dua aspek ekonomi dan alam sekitar?
Secara definisi, kelestarian ekonomi merujuk kepada amalan yang menyokong pembangunan ekonomi jangka panjang tanpa memberikan kesan buruk terhadap aspek sosial, alam sekitar dan budaya seperti pertanian mikro, kerja kitar semula sejagat dan penternakan ikan yang lestari.
Kelestarian alam sekitar pula didefinisikan sebagai interaksi yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar untuk mengelakkan penipisan atau penurunan sumber semula jadi dan memastikan penjagaan kualiti alam sekitar jangka panjang melalui langkah-langkah seperti pengenalan cukai karbon dan pergerakan ke arah tenaga yang boleh diperbaharui.
Beri manfaat pada rakyat
Kedua-duanya berkait rapat melalui pelbagai cara kerana pengeluaran produk dan perkhidmatan memerlukan penggunaan sumber semula jadi dan seterusnya, berkorelasi dengan kos persekitaran tanpa mengira tahap rendah atau tinggi.
Mekanisme utama untuk mengimbangi kedua-duanya adalah mungkin dengan mengurangkan kemusnahan yang dilakukan oleh aktiviti ekonomi dengan menetapkan had aktiviti ekonomi bagi mengurangkan kesan buruknya terhadap alam sekitar.
Untuk melakukan ini, kerajaan haruslah menguatkuasakan undang-undang yang tepat dan melaksanakan dasar alam sekitar yang boleh dipercayai untuk pemeliharaan alam sekitar bagi mengurangkan kesannya, iaitu sebagai sebahagian daripada mempromosikan kelestarian alam sekitar sambil memastikan tindakan tersebut tidak juga menghalang kegiatan ekonomi.
Contoh terdekat adalah masalah projek empangan air di Sabah, iaitu empangan Papar yang sering menjadi bahan bualan dan membimbangkan rakyat Sabah.
Sebilangan besar penduduk di sana menentang projek itu kerana mereka percaya bahawa pembinaan empangan Papar itu bukanlah mempunyai tujuan ekonomi, malah menyebabkan banyak kesulitan kepada masyarakat dan alam sekitar.
Dalam hal ini, kerajaan harus mengkaji dan menganalisis projek tersebut dan memastikan bahawa ia melalui proses Penilaian Kesan Persekitaran serta mengambil kira pandangan masyarakat.
Tujuannya adalah untuk memastikan bahawa projek itu dapat memberi manfaat kepada rakyat Sabah dan yang paling penting adalah ianya memenuhi keseimbangan antara kestabilan dari aspek ekonomi dan alam sekitar.
Ini memerlukan penyertaan kedua-dua ahli ekonomi dan persekitaran dalam perbincangan yang berterusan ini untuk menutup jurang dalam memahami keputusan pengeluaran dan pengguna, hasil pasaran yang mendorong perubahan persekitaran global, dan bagaimana untuk mengawal atau mengurangkan kesan buruk terhadap alam sekitar berpunca daripada kegiatan ekonomi.
Walau bagaimanapun, ianya menjadi rumit apabila sebilangan ahli ekonomi berasa terlalu bimbang akan prestasi ekonomi yang terancam oleh tahap kelestarian alam sekitar yang tinggi dan sebilangan ahli persekitaran pula tidak realistik dalam perjuangan untuk alam sekitar sehingga seolah-olah mereka ingin memutar kembali ekonomi dan alam sekitar semasa di zaman batu.
Isu empangan Papar
Kesatuan fikiran di antara mereka diperlukan dan asas kesatuan ini haruslah berdasarkan pertimbangan ekonomi dan persekitaran, ianya tidak perlu saling eksklusif tetapi hanyalah jika mereka dapat bekerjasama dan belajar antara satu sama lain untuk mencari penyelesaian yang paling optimum.
Menurut ahli ekonomi, kelestarian ekonomi dapat dilihat melalui lima aspek yang meliputi:
- Aspek semula jadi yang terhasil dari sistem ekologi kita;
- Aspek pengeluaran yang terhasil dari aktiviti produktif kita;
- Aspek manusia yang terhasil dari bakat-bakat kita;
- Aspek sosial yang terhasil dari kepercayaan dan interaksi sosial;
- Aspek kewangan yang menghubungkan keempat-empat aspek sebelumnya untuk membantu pertumbuhan dan kemampanan ekonomi.
Isu empangan Papar seharusnya menjadi petunjuk untuk mengelakkan pengabaian kelestarian ekonomi dalam apa jua keadaan. Juga, sekarang adalah waktunya untuk memupuk kelestarian ekonomi dan alam sekitar secara aktif kerana pengabaian kedua-duanya sekali akan mencetuskan lebih banyak kesan negatif terhadap aspek kehidupan yang lain.
Memandangkan inilah yang dimaksudkan dengan Matlamat Pembangunan Lestari, maka kita perlu giat mempromosikan strategi-strategi pembangunan lestari seperti konsep penggunaan tanah lestari untuk mempertahankan alam sekitar dari mengalami kemerosotan.
Perkara lain yang perlu dipertimbangkan adalah strategi kesediaan untuk menangani bencana alam sekitar walaupun negara kita biasanya dilanda bencana alam sekitar yang sederhana dan jarang sekali dilanda bencana yang melampau.
Kesimpulannya, keseimbangan kelestarian ekonomi dan alam sekitar tidak seharusnya menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan sahaja, tetapi pihak kerajaan wilayah, kerajaan tempatan, swasta, badan bukan kerajaan dan masyarakat juga haruslah bekerjasama untuk sama-sama mencapainya.
FARHAN KAMARULZAMAN merupakan Pembantu Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.
Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini