Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan Johor lulus 3 projek jalan raya bernilai RM44 juta
Diterbitkan:  Sep 3, 2020 9:39 PM
Dikemaskini: 1:39 PM

Kerajaan negeri Johor telah meluluskan tiga projek melibatkan pembinaan dan naik taraf jalan raya bernilai jumlah RM44 juta, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohd Solihan Badri.

Beliau berkata kesemua projek itu akan dilaksanakan secepat mungkin bagi membantu mengurangkan kesesakan jalan raya di samping untuk mewujudkan peluang pembangunan baru di kawasan berhampiran.

Katanya, projek meliputi menaik taraf dan menyambung jalan dari Kong Kong, Masai ke Pasir Gudang melibatkan kos RM25 juta; pembinaan Jalan Meta Sekakap di Mersing dengan kos RM13 juta, serta pembaikan persimpangan Jalan Tan Swee Hoe dan Jalan Parit Besar di Batu Pahat dengan kos RM6 juta.

“Projek naik taraf jalan Kong Kong sepanjang 820 meter kini dalam proses reka bentuk. Jalan akan dibesar dan dinaik taraf bagi menghubungkan secara keseluruhan Kong Kong hingga ke Pasir Gudang,” katanya kepada pemberita selepas melawat beberapa projek jalan raya di Johor Bahru, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Solihan berkata kerajaan negeri akan membantu Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) mendapatkan peruntukan berjumlah RM200 juta daripada kerajaan pusat bagi pelaksanaan projek membina jalan raya menghubungkan Taman Impian Emas di Skudai dan Taman Kota Masai di Pasir Gudang.

“Projek ini membabitkan pembinaan jalan raya sepanjang 15 kilometer dengan empat lorong dua hala. Jadi, kita (kerajaan negeri) berharap kerajaan persekutuan mempertimbang dan meluluskan peruntukan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

“Kita yakin sekiranya projek ini diluluskan, Johor akan mencapai satu tahap pembangunan bukan sahaja dalam konteks kemudahan kepada rakyat tetapi merancakkan lagi pembangunan ekonomi untuk tahun mendatang,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS