Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahidi mohon maaf buat kenyataan salah mengenai Veveonah
Diterbitkan:  Sep 3, 2020 8:49 PM
Dikemaskini: 4:11 PM

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin mengakui terkhilaf semasa mendakwa seorang pelajar universiti yang juga personaliti YouTube berlebih-lebihan semasa menjawab soalan peperiksaan baru-baru ini.

Kata Zahidi dia mendapat maklumat yang tidak tepat semasa memberikan jawapan di Dewan Negara pada hari ini. Justeru Zahidi memohon maaf atas kesilapan tersebut.

“Merujuk kepada perbahasan di Dewan Negara hari ini, saya ingin membetulkan kenyataan mengenai adik Veveonah Mosibin tidak menjalani sebarang peperiksaan ketika video beliau belajar di atas pokok tular di media sosial.

“Saya telah mendapat maklumat yang tidak tepat dalam menjawab soalan tambahan.

"Saya ingin memohon maaf kepada adik Veveonah Mosibin," katanya menerusi hantaran di media sosial.

Ahli parlimen Padang Besar itu juga memberitahu, dia akan membuat kenyataan pembetulan dalam sidang Dewan Negara pada Isnin ini.

Terdahulu Zahidi mendakwa Veveonah sebenarnya tidak mempunyai sebarang peperiksaan semasa memanjat pokok di kawasan rumahnya. Sebaliknya dakwa Zahidi, Veveonah melakukan tindakan itu untuk ditularkan serta mengisi kandungan saluran YouTubenya.

“Veveonah merupakan seorang YouTuber dan tidak ada peperiksaan. Kita dah semak dah, dia hanya YouTuber untuk ambil nama, dia terkenal sekejap dan dia buat hanya untuk hiburan.

“Ini perbuatan yang kadang-kadang kita tertipu dan kadang-kadang kita jangan mudah tertipu dengan YouTuber untuk membuat isu," katanya di Dewan Negara.

Veveonah Mosibin

Veveonah yang menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS) kemudian menafikan kenyataan Zahidi malah mengaku tidak pernah berjumpa dengan ahli parlimen Umno itu. 

Sementara itu, Zahidi turut berharap agar Veveonah terus maju dalam bidang yang diceburi.

Untuk rekod, nama Veveonah mula menjadi tumpuan selepas videonya tular di media sosial berhubung usahanya yang bersungguh-sungguh untuk menduduki peperiksaan akhir secara dalam talian.


Baca Veveonah: Kenyataan timbalan menteri palsu...


Bagaimanapun disebabkan masalah liputan Internet di rumahnya di Kampung Sabanalang di Pitas, pelajar asasi sains itu terpaksa memanjat pokok bagi mengatasi kekangan tersebut.

Video YouTube berjudul 24 Hours On Tree/Challenge (Cabaran 24 jam atas pokok) itu dimuat naik pada 13 Jun - sehari selepas peperiksaannya tamat - dan kini meraih lebih 700,000 tontonan dengan 52,000 tanda suka.

Sejak insiden itu. UMS juga telah menawarkan biasiswa kepada Veveonah untuk melanjutkan pengajiannya di peringkat sarjana muda di universiti itu. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS