Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kami bukan setinggan, kata penduduk Desa Subang Perantau

Penduduk Desa Subang Perantau meminta kerajaan Selangor memberikan pampasan yang setimpal selepas rumah mereka dirobohkan pagi tadi untuk kerja-kerja pelebaran sungai yang terbabit dalam projek tebatan banjir di Sungai Pelempas.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Desa Subang Perantau, Masri Mustapha, setiap rumah yang terlibat menerima pampasan bernilai RM15,000.

“Peguam kami tak setuju duit diambil tetapi orang kampung sedang terdesak (ketika itu),” katanya.

Antara tawaran lain daripada kerajaan negeri ialah Rumah Selangorku di Saujana Putra, dengan surat tawaran tersebut meminta penduduk agar berjumpa pemaju.

Namun menurut Masri, mereka mendapati bahawa pemaju tidak tahu-menahu mengenai butitan rundingan berkaitan tawaran tersebut.

Tambahnya, projek perumahan tersebut belum dibangunkan ketika mereka menerima surat tersebut iaitu pada 2018 atau 2019.

Masri menjelaskan tempoh anggaran projek perumahan itu siap pada tiga tahun lagi dari tarikh surat tawaran diterima.

Satu lagi tawaran kerajaan negeri buat penduduk terbabit, katanya, ialah sumbangan berjumlah RM300 sebulan oleh Lembaga Zakagt Selangor.

Mahu Selangor guna dana negeri

Namun kata Masri ia tidak menyelesaikan masalah yang dihadapi.

“Dalam tempoh tiga tahun tu kami nak tinggal mana?” soalnya.

Difahamkan 16 daripada 105 lot tanah di Desa Subang Perantau itu tidak diluluskan sebagai kawasan kediaman kekal.

Kata Masri Selangor mewartakan sempadan sungai tersebut pada 22 Feb 2018 ketika ada penduduk di situ sudah membina rumah masing-masing 10 tahun lebih awal.

Katanya, bentuk Sungai Pelempas yang diwartakan itu melencong ke arah lot tanah kediaman penduduk dan tidak mengikut aliran semula jadi sehingga menjejaskan kedudukan lot tanah kediaman mereka.

Masri (tengah) bersama Megat Firdouz (kanan) dan Zaharudin (kiri)

“Memang setiap tahun musim tengkujuh banjir. Kami bersyukur kerajaan Selangor cuba atasi masalah banjir, tapi ada cara yang lagi sesuai, yang tidak melibatkan penganiayaan kepada orang ramai.

“Selangor merupakan negeri terkaya di Malaysia. Gunakanlah dana itu. Rumah dah roboh.

"Sekarang perjuangan kami ialah cuba cari pampasan,” katanya pada sidang media di Desa Subang Perantau di Shah Alam, Selangor hari ini.

Lihat Google sebagai bukti

Pada masa sama, dia menegaskan bahawa petempatan di situ bukanlah kawasan perumahan setinggan yang dibina di tanah haram sebaliknya kediaman berkenaan dibangunkan dan permohonan pemilikan sedang diusahakan.

Untuk memberikan justifikasi, Masri menyokong dakwaan berkenaan dengan merujuk kepada peta Google untuk melihat kedudukan kediaman mereka.

“Kalau kita tengok pada Google, rumah kami bukan rumah setinggan. Kalau tengok rumah ni, ada rumah batu yang harganya RM200,000 atau RM300,000 sebuah.

“Kalau setinggan rumahnya di tepi sungai, memang rizab sungai yang dibina pondok kemudian dibesar-besarkan baru duduk. Itu barulah setinggan.

“Kami bukan setinggan. Persepsi awam di mana kami pergi pun, (kami) duduk tanah haram, keluarlah.

"Kami nak jelaskan kepada orang ramai, rumah kami adalah rumah dalam permohonan,” katanya.

Sazali Misran

Kata Masri lagi mereka membuat tiga kali permohonan ke pejabat Menteri Besar Selangor namun tiada jawapan rasmi diterima. Mereka katanya hanya dimaklumkan perkara berkenaan ada dibincangkan dalam Dewan Undangan Negeri Selangor sebanyak empat kali.

Turut menyertai sidang media berkenaan ialah Ketua Umno Sungai Buloh, Megat Firdouz Megat Junid dan Yang Dipertua PAS Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad.

Sementara itu, seorang penduduk yang dirobohkan rumahnya, Sazali Misran, berkata wang pencennya habis membeli tanah di kawasan tersebut dan membina tiga unit buah rumah di situ.

Memang kawasan rizab sungai

Pesara berusia 63 tahun itu kini tinggal bersama dengan isterinya, lima orang anak berusia antara 19 hingga 35 tahun serta cucu-cucunya.

“Perasaan saya bila lihat dirobohkan rasa tak terkata… Inikah hadiah merdeka untuk pesara?” katanya yang dilihat merayau-rayau di tapak kawasan perumahan yang baru dirobohkan pagi tadi.

Nasib yang sama dihadapi oleh Fatimah Bakar, 69, yang kini perlu menumpang rumah anaknya apabila rumahnya turut dirobohkan.

“Mak cik sedih.. berapa lama nak tinggal rumah anak?" soalnya.

Fatimah Bakar

Mendakwa kerajaan Selangor sebagai tidak mengendahkan penduduk berkenaan, Fatimah berkata, dia merayu agar rumahnya jangan dirobohkan tetapi tidak dipedulikan.

Sementara itu, Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Izham Hashim, dalam sidang media berasingan berkata kerajaan negeri mengambil segala langkah perlu sebelum mengarahkan penduduk berpindah.

“Penyiapan projek rancangan tambatan banjir Sungai Pelempas ini sangat penting bagi penyelesaian masalah banjir di kawasan Kampung Melayu Subang.

“Hal ini diambil kira kepesatan pembangunan semasa di kawasan Kampung Melayu Subang dan penduduk yang kian bertambah,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri bukannya merobohkan kawasan berkenaan sewenang-wenangnya sebaliknya semua langkah perlu diambil terlebih dulu.

Katanya kerajaan negeri tidak mahu bertindak zalim atau menindas semasa merobohkan kediaman tersebut namun menegaskan ia adalah kawasan yang tidak wajar dibina rumah.

“Ini adalah kawasan rizab sungai,” katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS