Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
IFJ: Selepas rejim berubah, kebebasan media Malaysia membimbangkan
Diterbitkan:  Sep 3, 2020 4:40 PM
Dikemaskini: 8:40 AM

Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ) berpendapat berlaku kemerosotan dalam kebebasan media di negara ini sejak berlaku perubahan kerajaan pada Mac lalu.

Menyatakan hal tersebut dalam laporannya mengenai landskap media Malaysia, IFJ berkata kerajaan wajar melakukan reformasi segera bagi melindungi industtri media yang rapuh di negara ini.

Laporan yang diterbitkan semalam itu turut menyorot kesan Covid-19 terhadap kebebasan media serta mendapati ia meningkatkan cabaran yang dihadapi pekerja dan pengamal media di Malaysia.

Dalam laporan bertajuk Cabaran dan Kawalan: Impak Covid-19 Pada Pengamal Media di Malaysia itu IFJ mendapati sejak wabak Covid-19 mengancam dunia, Malaysia melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ia juga menyaksikan peningkatan jumlah serangan dan gangguan terhadap individu yang yang dilihat kritikal kepada isu-isu sensitif dan susunan politik baru.

"Laporan itu memperincikan senarai tuduhan dan pendakwaan dalam tempoh enam bulan terakhir di bawah undang-undang dan peraturan drakonian Malaysia," kata IFJ dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan itu juga menjelaskan bagaimana peralihan politik pada akhir Feb lalu - yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) runtuh dan diganti dengan gabungan ahli politik pembelot dan pembangkang nasionalis, konservatif yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin - memberi kesan kepada kebebasan media.

"Kerajaan baru Malaysia masih belum berkuasa penuh sejak enam bulan namun terdapat bukti penurunan kebebasan sivil dan media di bawah pentadbiran berkenaan," kata IFJ.

"Untuk wartawan dan pekerja media, ia merupakan kekecewaan kepada janji pembaharuan yang diberikan kerajaan sebelum ini dan keadaan dijangka kembali seperti dulu," katanya.

Penting untuk lakukan perubahan

IFJ juga menambah pentadbiran Muhyiddin dicemari dengan beberapa kes berprofil tinggi dalam kebebasan media.

Antaranya kata persekutuan itu, tuduhan menghina mahkamah terhadap portal berita yang dihormati, Malaysiakini; serbuan ke atas pejabat stesen Al Jazeera di Kuala Lumpur yang menghasilkan dokumentari mengenai pekerja imigran; dan pengharaman buku Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia.

IFJ turut memperincikan lebih 10 percubaan lain oleh pihak kerajaan untuk mengekang kebebasan bersuara dan merujuk kepada beberapa insiden membabitkan ahli politik pembangkang dan NGO yang dipanggil polis untuk disoal siasat selepas Muhyiddin ambil alih kerajaan.

"Menggunakan undang-undang hasutan dan penghinaan yang menekan, kerajaan baru sedang mendiamkan kritikan dan membataskan kebebasan bersuara.

"Buat industri media yang menyampaikan maklumat demi kepentingan awam, reformasi undang-undang adalah kritikal," kata IFJ.

Laporan tersebut juga memberi cadangan untuk membantu mencapai persekitaran kerja yang kondusif buat pengamal media di Malaysia dengan memfokuskan reformasi perundangan dan penubuhan majlis media untuk menjamin kebebasan bersuara.

Pada 9 Sept ini, laporan IFJ berkenaan akan dibincangkan oleh wakil media dan kumpulan masyarakat sivil menerusi webinar yang akan menampilkan Anggota Parlimen Kluang, Wong Shu Qi; jurucakap Gerakan Media Merdeka, Radzi Razak; wartawan Tashny Sukumaran dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran.

[Baca berita asal] 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS