Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysia sekat rakyat dari negara catat lebih 150,000 kes Covid-19

Kerajaan tidak membenarkan rakyat dari negara yang mencatatkan kes positif COVID-19 melebihi 150,000 untuk masuk ke Malaysia bermula Isnin ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata antara negara dalam senarai sekatan itu ialah Amerika Syarikat, Brazil, Perancis, United Kingdom (UK), Sepanyol, Itali, Arab Saudi, Rusia dan Bangladesh, selain tiga negara yang diumumkan Selasa lalu iaitu India, Indonesia dan Filipina.

"Kita akan tambah lagi (senarai negara) yang dianggap berisiko tinggi,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kempen Pembudayaan Norma Baharu, di Putrajaya, hari ini.

"Kecuali jika kes melibatkan kecemasan atau urusan berkaitan hubungan dua negara. Bagaimanapun, ia perlu mendapat kebenaran Jabatan Imigresen,” katanya.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan akan mengumumkan lebih lanjut mengenai senarai negara yang merekodkan kes positif COVID-19 melebihi 150,000.

Kelmarin, Ismail Sabri mengumumkan sekatan kemasukan pemegang pas jangka panjang dari India, Indonesia dan Filipina ke Malaysia bermula 7 Sept ini berikutan peningkatan mendadak kes positif COVID-19 di negara berkenaan.

Sekatan itu merangkumi enam kategori iaitu mereka berstatus pemastautin tetap (PR), Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), ekspatriat termasuk pemegang pas lawatan profesional (PVP) dan pemegang pas residen.

Turut disekat ialah pasangan kepada warganegara Malaysia dan anak-anak mereka serta pelajar dari ketiga-ketiga negara berkenaan yang ingin kembali ke Malaysia.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kerajaan tiada halangan untuk membenarkan rakyat Malaysia dari negara berisiko tinggi untuk pulang namun mereka tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu kuarantin wajib 14 hari.

Mengenai Kempen Pembudayaan Norma Baharu, Ismail Sabri berkata ia akan dilaksanakan sehingga 31 Disember ini bagi memastikan masyarakat terus mematuhi SOP yang telah digariskan bagi memerangi COVID-19.

Katanya, pelbagai kempen di pusat beli-belah, media sosial dan media cetak akan dibuat bagi memastikan tahap kepatuhan SOP berada di tahap tertinggi

“Sekarang kepatuhan SOP tinggi kerana adanya Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dan polis boleh lakukan penguatkuasaan.

“Kita mahukan rakyat terus melakukan kawalan kendiri seperti pakai pelitup muka, kerap basuh tangan dan terus amalkan penjarakan fizikal,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS