Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Umno membuat keputusan untuk tidak menghantar calon bagi jawatan Yang di-Pertua Dewan Negara yang sah disandang Dr Rais Yatim hari ini.

Menurut sumber, memang ada yang ingin mencalonkan wakil Umno untuk diundi hari ini tetapi ia bukan pendirian pimpinan pusat.

"Umno sememangnya tidak mengemukakan nama bagi merebut jawatan speaker Dewan Negara.

"Tiada sebarang mesyuarat tergempar (yang membuatkan Umno menarik semula cadangan itu) dan Umno memang tidak mencalonkan sesiapa," kata sumber dalaman parti itu kepada Malaysiakini.

Rais yang juga pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, dipilih sebagai Yang di-Pertua baru Dewan Negara setelah mengatasi seorang lagi calon iaitu Yusmadi Yusoff dari PH.

Rais - yang dicalonkan oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin - mendapat 45 undi manakala Yusmadi 19 undi.

Terdahulu, ada dua lagi nama yang disebut sebagai calon untuk kedudukan itu iaitu Mohamad Ali Mohamad (Umno) dan Theodore Douglas Lind (Warisan).

Bagaimanapun nama Mohamad tidak dicalonkan pagi ini manakala Lind pula dilaporkan menarik diri.

Yusmadi

Terdahulu hari ini, Rais berkata Umno ada surat menulis surat permohonan untuk mencalonkan Mohamad Ali tetapi berasa "janggal" di saat akhir untuk meneruskannya.

Sementara itu, Yusmadi yang dihubungi Malaysiakini berkata tidak timbul soal Rais mengatasinya bagi menjadi speaker Dewan Negara.

Sebaliknya, dia berkata usahanya adalah untuk mereformasikan Dewan Negara itu sendiri.

"Mengenai isu kalah dan menang (tidak timbul), kemenangan bagi saya adalah apabila usaha selama ini untuk mereformasikan Dewan Negara berhasil. Buat pertama kali dalam sejarah Dewan Negara dan Parlimen Malaysia, pemilihan speaker Dewan Negara berlaku pada era ini.

"Apa yang penting adalah kesungguhan rakan-rakan senator untuk melakukan pemilihan tersebut amat mengembirakan saya.

"Malah saya bagi pihak PKR ucapkan tahniah kerana agenda reformasi yang diperjuangkan selama 20 tahun dapat juga dicernakan dalam ruang Dewan Negara," katanya kepada Malaysiakini.

Yusmadi mengucapkan tahniah kepada Rais di atas pemilihannya dan penghargaan kepada Lind kerana menurutnya memberi laluan kepadanya.

Malaysiakini dalam usaha mendapatkan reaksi daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS