Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KATA MP | Bersatu akan tersepit dalam percaturan Umno, PAS

KATA MP | Perikatan Nasional (PN) adalah satu ikatan yang longgar. Simpulnya akan terbuka bila-bila masa. Ini adalah kerana parti-parti utama BN tidak mahu menyertai perikatan itu. BN yang diterajui oleh Umno tidak percaya kepada PN.

Oleh itu, tidak ada usaha untuk memperkukuhkan kedudukan PN. Umno merasakan bahawa PN akan hanya memperkukuhkan Bersatu. Tidak ada manfaat secara langsung kepada Umno dan parti-parti komponen BN yang lain.

PAS menyertai PN untuk menjaga hati Bersatu dan membodek Ketuanya iaitu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tetapi, penyertaaan PAS dalam Perikatan juga adalah pura-pura dan bukannya secara ikhlas.

Umno berani bersikap angkuh kerana bilangan Ahli Parlimennya yang ramai jika berbanding dengan PAS. Inilah menyebabkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin terpaksa berdiam diri walaupun beliau dan partinya dihina begitu rupa oleh pemimpin-pemimpin utama Umno.

Seruan Tengku Razaleigh Hamzah kepada menteri-menteri Umno supaya keluar daripada kabinet PN adalah satu penghinaan yang cukup tajam.

Tetapi, perdana menteri dan pemimpin-pemimpin Bersatu tidak berani menjawab tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh pemimpin-pemimpin Umno. Keadaan Bersatu amat tertekan bagai kerakap tumbuh di batu, hidup segan mati tak mahu.

Umno lebih cenderung untuk menperkuatkan hubungannya dengan PAS dalam Muafakat Nasional. Bagi Umno, Bersatu adalah tetamu yang tidak diundang untuk menyertai Muafakat Nasional.

Tetapi, oleh kerana Bersatu ingin sangat menyertai Muafakat Nasional, PAS rela menerimanya. Tetapi, Umno menerima Bersatu dengan hati yang berat.

Ini adalah muslihat PAS untuk memperkukuhkan kedudukannya. PAS cuba mencari keuntungan politik melalui penyertaannya dalam PN dan Muafakat Nasional. Malangnya, Bersatu telah dipergunakan oleh Umno dan PAS untuk kepentingan masing-masing.

Bersatu akan mati di tengah dalam percaturan politik Umno dan PAS. Kesilapan besar Bersatu ialah mengkhianati rakan-rakan seperjuangan dan berkawan dengan musuh yang bakal menghancurkannya, ibarat pepatah, "ada biduk, serempu pula".

Akhirnya Bersatu akan pasti dihukum kerana ketamakan kuasa. Sebelum rakyat menghukum parti itu, musuh-musuhnya dalam selimut akan menghabiskan riwayat parti tersebut.

Taring-taring bisa Umno sudahpun kelihatan. PAS akan tikam dari belakang.


V SIVAKUMAR merupakan ahli parlimen Batu Gajah dari DAP.

Tulisan ini tidak semstinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS