Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saksi: Joshua Hilmy pernah diburu polis di bawah Akta Hasutan

Paderi Joshua Hilmy yang dilaporkan hilang bersama isterinya Ruth Sitepu, pernah menjadi buruan polis di bawah Akta Hasutan berhubung satu hantaran di Facebook yang didakwa menghina Islam pada 2014.

Perkara itu dinyatakan pegawai polis Nurul Huda Bustami yang merupakan saksi ke-12 siasatan awam berkenaan kes kehilangan Joshua pada 2016 yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Nurul Huda berkata dia merupakan pegawai yang menyiasat kes tersebut selepas menerima tiga laporan daripada NGO Wira Perkasa di ibu pejabat polis daerah (IPD) Rembau, Negeri Sembilan.

Namun katanya tiada bukti yang dapat mengaitkan hantaran tersebut dengan Joshua dan kes itu kemudian dikategorikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

"Saya pernah rekodkan laporan polis terhadapnya bertarikh 27 Jun 2014 di IPD Rembau. Laporan itu dibuat oleh seorang kontraktor bernama Salam Sarip mewakili NGO Wira Perkasa cawangan Chembong.

"Dia datang dengan seorang perempuan dan enam lelaki lain, tiga laporan dibuat oleh mereka. Semuanya berkenaan perkara sama," kata Nurul Huda ketika inkuiri yang dibuat di ibu pejabat Suhakam di Kuala Lumpur, hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta menjelaskan laporan polis terhadap Joshua atas dakwaan membuat kenyataan menghina Islam.

Nurul Huda berkata lagi, polis telah meletakkan nama Joshua - ketika itu dikenali sebagai Hilmy Hanim - sebagai orang dikehendaki selepas tidak dapat menjejakinya.

"Selepas mengambil keputusan untuk menyiasat laporan Salam, saya meminta Jabatan Siber dan Jabatan Komersial (JSJK) Bukit Aman untuk membantu kes ini dengan mengenal pasti pemilik hantaran tersebut namun tidak menerima sebarang maklumat.

"Selepas dua bulan, saya meminta (bantuan) Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SMM). Mereka menghantar sekeping gambar pasangan itu dengan sebuah kereta kancil berwarna merah dengan nombor plat.

"Berdasarkan nombor plat itu yang diperiksa di Jabatan Penangkutan Jalan, mereka memberi maklumat nama pemilik kenderaan iaitu Hilmy bin Hanim dan alamatnya di Ipoh, Perak," katanya.

Katanya lagi, dia kemudian ke Ipoh dan satu lagi alamat di Butterworth tetapi tidak dapat menemui individu bernama Hilmy Hanim.

"Bila kami tanya di sana individu bernama Hilmy...tidak dapat (maklumat)," katanya sambil menambah usaha mencari juga dibuat menerusi nombor telefon tetapi turut gagal.

"Saya terpaksa letak nama dia dalam senarai dikehendaki pada awal Oktober 2014," katanya lagi.

Nurul bagaimanapun berkata dia mengeluarkan nama Hilmy daripada senarai tersebut selepas arahan daripada Jabatan Peguam Negara, susulan status tiada tindakan lanjut.

Untuk rekod, inkuiri itu bertujuan untuk memastikan sekiranya Joshua dan Ruth menjadi mangsa kehilangan secara paksa.

Kali terakhir mereka dilihat pada 30 Nov 2016 dan hanya dilaporkan hilang pada 6 Mac 2017.

Siasatan dipengerusikan oleh pesuruhjaya Suhakam Hishamuddin Yunus dan dibantu oleh pesuruhjaya Jerald Joseph dan Madeline Berma disambung semula pada 10 September.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS