Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno rasa 'janggal' cabar pencalonan PM bagi jawatan YDP Dewan Negara

Yang di-Pertua Dewan Negara Rais Yatim mengesahkan Umno sebelum ini ada menulis surat untuk mencalonkan senator dari Melaka, Mohamad Ali bagi jawatan berkenaan.

Namun, katanya, pada saat akhir, Umno berasa "janggal" untuk meneruskan pencalonan itu.

"Ada perkara kita boleh zahirkan di depan (umum) dan ada yang kita tak zahirkan.

"Jadi dalam konteks ini memang semalam ada satu surat pencalonan dari Umno Melaka, Mohamad Ali.

"...(Tapi) saat-saat akhir saya percaya pimpinan Umno terasa janggal (membuat pencalonan itu), sedangkan kita bersama dalam Perikatan Nasional.

"Bagaimana pula nak menerima seseorang calon dari Umno, sedangkan perdana menteri (Muhyiddin Yassin) mengemukakan calonnya?" kata Rais pada sidang medianya selepas dipilih memgang jawatan itu hari ini.

"Saya yakin sabab perasaan begitulah, maka pada saat akhir Mohamad berundur sebagaimana juga saudara Theodre Douglas Lind dari Warisan undur," tambahnya sambil berterima kasih kepada pimpinan Umno.

Umno sebelum ini bersedia untuk menghantar nama calon sendiri bagi jawatan Yang di-Pertua Dewan Negara, yang dilihat sebagai langkah menentang Muhyiddin yang mencalonkan Rais.

Awal hari ini, Rais dipilih menjadi Yang di-Pertua selepas 45 daripada 65 senator menyokongnya. Hanya 19 yang memilih Yusmadi Yusoff dari PKR bagi jawatan itu, dengan seorang lagi senator tidak hadir.

Rais dalam ucapan sulungnya meminta kerjasama daripada semua pihak tanpa mengira parti agar dia dapat melakukan tugasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Negara Liew Chin Tong mencadangkan Rais meletakkan jawatan dalam Bersatu selaras dengan saranannya sendiri untuk tidak membawa ‘politik kepartian’.

"Rais dalam ucapan sulongnya sebagai Yang Di-Pertua Dewan Negara telah menyarankan agar tidak membawa ‘politik kepartian’ dalam Dewan Negara.

"Justeru itu, saya mencadang kepada Rais tadi dalam persidangan bahawa beliau perlu membuktikan iltizam politiknya dengan meletak jawatan dalam Bersatu sebagai Ahli Majlis Tertinggi, Pengerusi Badan Bersatu Negeri Sembilan dan Ketua Bahagian Jelebu," katanya Liew yang juga pengerusi DAP Johor.

Mengulas cadangan Liew dalam sidang medianya, Rais menyorot bahawa Yang di-Pertua Dewan Negara sebelum ini, S Vigneswaran juga tidak meletakkan jawatan sebagai presiden MIC ketika menggalas jawatan berkeanaan.

"Jadi tak ada sebab saya nak letak jawatan. Jawatan saya pun tak banyak dalam parti, lebih merupakan penasihat dan sebagai bekas pengerusi Bersatu di Negeri Sembilan.

"Saya fikir soal tu tak jadi relevan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS