Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Saya dah maklumkan awal tak hadir ke konvensyen PN'

Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ketidakhadirannya dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ke Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN) semalam telah dimaklumkan lebih awal kepada pihak penganjur.

“Penganjur sudah dimaklumkan awal ketidakhadiran saya dan presiden (Ahmad Zahid) kerana kami berada di Sabah untuk siri-siri pertemuan dan penyelarasan dengan jentera BN di seluruh Sabah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Katanya, perkara itu sebenarnya sudah dimaklumkan kepada pihak penganjur sejak Khamis minggu lepas lagi.

Ketidakhadiran Asyraf dan Ahmad Zahid ke konvensyen yang berlangsung semalam menimbulkan tanda tanya sesetengah pihak.

Antara pemimpin yang hadir dalam konvensyen semalam

Ini memandangkan kedua-dua pemimpin Umno itu dijadualkan berucap dalam konvensyen tersebut, sama seperti pemimpin-pemimpin PN yang lain yang hadir memberikan ucapan mereka, tetapi kelibat kedua-duanya tak kelihatan.

Pemimpin PN yang memberikan ucapan semalam ialah Presiden Bersatu merangkap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin; Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Presiden PAS Abdul Hadi Awang serta Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khiruddin.

Disoal apakah penganjur sepatutnya boleh mengubah jadual yang membabitkannya sebelum konvensyen bermula, memandangkan makluman awal telah pun diberikan, jawab Asyraf:

“Sepatutnya begitulah”.

Konvensyen itu menyaksikan pembentangan kertas kerja oleh ahli-ahli akademik berhubung pencapaian selepas enam bulan PN mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Pakatan Harapan (PH).

Kerajaan PH tumbang hujung Februari lalu selepas Langkah Sheraton- yang menyaksikan Bersatu keluar daripada PH dan bekerjasama bersama Umno-BN, PAS, PBS, GPS dan Star bagi membentuk kerjasama PN.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac.

Sebelum ini, Ahmad Zahid telah menyatakan bahawa Umno tidak akan menyertai PN tetapi masih menyokong kerajaan di bawah kepemimpinnan Muhyiddin. Kenyataan ini turut disokong oleh kenyataan beberapa pemimpin kanan Umno yang lain.

Bersatu pula meminta menyertai Muafakat Nasional (MN) yang sebelum ini hanya melibatkan Umno-BN dan PAS.

Hasrat Bersatu itu sebelum ini mendapat reaksi kurang senang dalam kalangan pemimpin Umno yang mengaitkannya dengan ketidakpuasan hati akar umbi Umno.

Namun, polemik itu berakhir apabila surat jemputan rasmi dihantar buat Bersatu untuk menyertai Muafakat Nasional, dan parti serpihan Umno itu pun sudah membalas surat berkenaan dengan menyatakan kesediaan untuk menyertai Muafakat Nasional.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS