Keasyikan lebih 20 pengunjung pusat karaoke dangdut berhibur dan melayan perasaan terusik apabila pihak berkuasa melakukan serbuan di premis berkenaan menjelang tengah malam tadi.
Lokasinya merupakan sebuah restoran yang terletak di pinggir Kota Bharu.
Mereka yang ada dalam premis tersebut terdiri daripada 11 lelaki dan 12 wanita yang sedang mengikuti satu pertandingan nyanyian.
Seorang daripada lelaki terbabit juga merupakan bekas peserta siri realiti televisyen. Pertandingan nyanyian itu pula turut disertai wanita warga emas sudah bergelar nenek.
Berdasarkan hadiah hamper yang disediakan penganjur, ada beberapa kategori disediakan, termasuk Ratu Gedik, Ratu Dangdut dan Penyanyi Lelaki Terbaik.
Difahamkan artis program realiti TV itu dibawa khas oleh penganjur untuk menjadi juri pertandingan karaoke berkenaan.
Pertandingan tersebut bagaimanapun berakhir selepas anggota keselamatan dari Polis Diraja Malaysia, Majlis Perbandaran Kota Bharu- Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheik) melaksanakan Operasi Noda Khas.
Pemeriksaan mendapati aktiviti karaoke di premis terbabit dijalankan tanpa lesen.
Setiausaha MPKB-BRI, Mohd Hariss Ghazali, berkata serbuan itu bermula kira-kira jam 11.20 malam diketuai Pegawai Cawangan D7 Ibu pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Insp Muhamad Farid Abu Othman.
Katanya, pemeriksaan mendapati 11 lelaki dan 12 wanita berada di dalam bilik dan menyertai pertandingan lagu karoake.
"Pihak berkuasa juga menahan seorang lelaki yang juga pemilik kedai merangkap penganjur pertandingan serta merampas peralatan karaoke.
"Semua individu berusia 35 hingga 65 tahun itu dikompaun di bawah Peraturan 10 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya.
Kesemua individu terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu dengan menaiki sebuah trak MPKB-BRI untuk tindakan lanjut pihak berkuasa.
Dalam serbuan itu juga, difahamkan empat wanita dikenakan tindakan oleh Jaheik kerana berpakaian tidak sopan serta tidak menutup aurat.