Paling Popular
Terkini

Dalam keadaan AS menjadi semakin proteksionis dan rantaian bekalan dikonfigurasi berlandaskan kerangka multilateral seperti AFTA (Kawasan Perdagangan Bebas Asean), RCEP (Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau) dan CPTPP (Perkongsian Trans-Pasifik Komprehensif dan Progresif) yang secara amnya tidak termasuk negara bukan anggota, pengembangan status pelabuhan bebas boleh menjadi sebahagian daripada penyusunan semula strategi pertumbuhan ekonomi.

Ini bermakna, pelabuhan-pelabuhan bebas cukai, yang bukan sebahagian daripada perbatasan kastam negara – dapat memanfaatkan ciri-ciri perjanjian perdagangan bebas (FTA) walaupun tidak menjadi sebahagian daripadanya.

Status pelabuhan bebas membolehkan pelabuhan berkenaan menikmati pengecualian yang biasanya tidak tersedia.

Oleh itu, pelabuhan bebas juga tertakluk kepada kelonggaran peraturan yang menjurus kepada pengurangan pita merah (red-tape) dalam penubuhan operasi perniagaan di samping insentif fiskal atau cukai.

Konsep pelabuhan bebas merupakan aspek penting dalam dasar perindustrian aktif kerajaan bagi mewujudkan pekerjaan, penembusan rantaian bekalan dan nilai global, serta meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) yang seterusnya memperkasa potensi pertumbuhan eksport sektor pembuatan.

Justeru, pelabuhan bebas bukan sekadar berfungsi sebagai hab logistik terkemuka dari segi penyediaan penyelesaian rantaian bekalan dari perkhidmatan hujung ke hujung, di peringkat serantau atau antarabangsa, malah bersinergi dengan ekonomi “pedalaman” untuk mewujudkan penumpuan industri dan kelompok yang bersepadu dan dinamik.

Seperti yang dirujuk, barangan dan produk yang masuk ke pelabuhan bebas biasanya menikmati pengecualian duti – supaya tarif kastam tidak dikenakan. Ini akan mengurangkan kos pengeluaran dan transaksi pengilang.

Terdapat juga dasar tarif terbalik dalam kawasan pelabuhan bebas dan zon perdagangan bebas (FTZ) yang komponen diimport, sama ada mentah atau separa proses, bebas tarif supaya pengeluar yang sangat bergantung kepada sumber luar dapat menikmati kos lebih rendah.

Ini sangat penting bagi sektor atau subsektor yang dilindungi perindustrian penggantian import.

Sehingga kini, tiada strategi dasar nasional pelabuhan bebas di Malaysia – yang dapat memberikan pendekatan sistematik yang menyeluruh, koheren, sistematik bagi memanfaatkan penggunaannya sebagai sebahagian daripada proses pemulihan dan perkembangan ekonomi, terutamanya pada pasca-Covid-19.

PKFZ dan Tanjung Pelepas

Mungkin konsep ini telah diabaikan tetapi jika digabungkan dengan aplikasi teknologi terkini dan digitalisasi, pelabuhan bebas dapat menjadi pemangkin dan perangsang dalam mendorong pertumbuhan ekonomi - yang dalam konteks Malaysia melibatkan negeri di mana pelabuhan bebas bertapak serta merangkumi wilayah sekelilinginya.

Sudah tentu, dua pelabuhan bebas terkenal di Malaysia adalah Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

Pelabuhan Tanjung Pelepas

Ia mengendalikan 327,000 unit setara dua puluh kaki (TEU) dan 4.12 juta kargo tan muatan pada tahun 2019 dan bersedia berkembang menjadi bandar serba lengkap dan, dengan itu, bawah rancangan induk transformasi akan menarik lebih banyak lagi pelaburan dalam masa akan datang.

PTP pula – yang diharapkan dapat bersaing secara sihat dengan Pelabuhan Singapura – menangani 9.1 juta TEU pada tahun 2019, dengan peningkatan penggunaan 73%.

Ia diharapkan dapat mencapai kebolehan mengendalikan 30 juta TEU setahun di masa depan.

Jumlah dagangan yang dikendalikan meningkat pada Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun (CAGR) yang mantap sebanyak 4.2% sepanjang dekad lalu.

PTP boleh memanfaatkan hubungan simbiosis antara dua ekonomi melalui fokus bersama untuk melayani import bahan mentah dan separa proses serta bahagian komponen yang melalui Selat Melaka dari kawasan sekitar dan berdekatan sebagai satu bidang kecekapan khusus.

Contoh yang serupa ialah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Dalam NCER, pengembalian status pelabuhan bebas untuk Pelabuhan Pulau Pinang akan mempercepatkan lagi integrasi antara wilayah serantau, yang melibatkan selatan Thailand dan Myanmar dari segi rangkaian pengeluaran untuk eksport semula.

Dan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab pembuatan elektrik dan elektronik (E&E) terkemuka di bawah perindustrian berorientasikan eksport (EOI) dapat disejajarkan dengan status pelabuhan bebas Pelabuhan Pulau Pinang.

Dalam analisis terakhir, pelabuhan bebas bukanlah konsep usang yang tidak memadai lagi dari segi FTA atau tidak lagi relevan dengan perindustrian atau model pembangunan untuk ekonomi yang pesat membangun atau maju.

Sekiranya percaturan dasar dikendalikan dengan sewajarnya, pelabuhan bebas boleh menjadi pembentuk masa depan dengan kemunculan logistik baharu seperti terowong bawah tanah sebagai sebahagian daripada kesalinghubungan perdagangan yang lebih luas, serta membolehkan rantaian bekalan muncul dengan lebih berdaya tahan dan bersepadu.


JASON LOH SEONG WEI merupakan ketua Bahagian Sosial, Perundangan dan Hak Asasi di EMIR Research, sebuah badan pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS