Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: K'jaan Kedah kukuh, tak wajar ikut bubar jika PRU diadakan
Diterbitkan:  Sep 1, 2020 3:14 PM
Dikemaskini: 7:14 AM

Menganggap kerajaan negeri kini dalam keadaan kukuh, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berpendapat Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak perlu dibubarkan jika berlaku pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.

Menurutnya, ia bagi mengelakkan pembaziran sumber dan masa bagi menghadapi pilihan raya selain situasi kerajaan Kedah berada dalam keadaan kukuh dan berjalan lancar.

"Di peringkat parlimen jika dibubarkan, kita sedia hadapi pilihan raya pada bila-bila masa. Di Kedah kita jalan seperti biasa, saya rasa negeri tak perlu ikut (bubar).

"Ini pandangan peribadi saya, jika parti di peringkat pusat dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) dapati ada keperluan (untuk bubar) dan adakan pilihan raya negeri, kita akan patuh," katanya seperti dilaporkan BH Online, hari ini.

Dia dilapor berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program 100 hari pentadbiran menteri besar Kedah di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar, hari ini.

Muhammad Sanusi dilantik menggantikan Mukhriz Mahathir ke jawatan itu selepas PH hilang majoriti DUN pada Mei lalu, susulan krisis politik beberapa bulan sebelumnya.

Sementara itu Muhammad Sanusi berkata sebagai orang politik pihaknya tidak gentar sekiranya perlu menghadapi pilihan raya dan menyerahkan kepada kepimpinan pusat untuk menentukan.

"Saya tidak takut (pilihan raya), orang politik tidak takut. Tetapi kita tidak suka membazir sumber dan masa bagi hadapi pilihan raya.

"Terpulang kepada perdana menteri memutuskan, tapi saya rasa tidak perlu pilihan raya diadakan buat masa ini," katanya seperti dipetik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS