Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Covid-19: Satu lagi kematian, enam kes baru
Diterbitkan:  Aug 31, 2020 5:49 PM
Dikemaskini: 10:33 AM

Kementerian Kesihatan memaklumkan enam kes baru Covid-19 dilaporkan hari ini dengan satu kematian terbaru, menjadikan dua kes kematian dalam bulan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata kematian terbaru itu melibatkan seorang warga emas berusia 62 tahun (Kes ke- 9124) daripada kluster Tawar di Kedah. 

Mangsa adalah abang kepada kes indeks iaitu kes ke- 9113.

Kluster ini dikaitkan dengan upacara pengebumian yang diadakan pada 31 Julai dan 1 Ogos lalu.

Noor Hisham berkata, mangsa mula mengalami gejala batuk sejak 11 Ogos lalu, dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar pada 13 Ogos setelah didapati positif Covid-19.

Pesakit berkenaan juga mempunyai sejarah penyakit diabetes dan tekanan darah tinggi.

"Keadaan kesihatan beliau merosot dan memerlukan bantuan pernafasan sejak 19 Ogos 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 30 Ogos 2020 jam 10.35 malam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ini menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 setakat ini adalah sebanyak 127 kes dan merupakan kematian kedua dalam tempoh dua hari. 

Sehari sebelumnya, kes ke-9290 dilapor meninggal dunia akibat Covid-19 di hospital yang sama.

Noor Hisham berkata, enam pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU), di mana empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, daripada enam kes baru tersebut, dua daripadanya merupakan penularan dalam negara.

Kedua-dua kes tersebut dilaporkan di Kedah iaitu daripada kluster Tawar dan kluster Telaga.

Setakat ini sebanyak 74 kes dikesan daripada kluster Tawar.

Manakala kluster Telaga yang pertama kali dilaporkan semalam, merekodkan lima kes positif dengan pertambahan kes terbaru itu.

"Kluster (Telaga) ini mula dilaporkan pada 30 Ogos 2020 dengan dua kes positif melibatkan kakitangan hospital (kes ke-9284 iaitu kes indeks dan kes ke-9334).

"Namun hasil siasatan lanjut mendapati terdapat dua lagi kes positif Covid-19 yang telah dilaporkan sebelum ini (kes ke-9306 dan kes ke-9291) didapati juga merupakan kontak rapat kepada kes indeks.

“Namun, siasatan lebih lanjut telah menemukan dua lagi kes yang pernah dilaporkan sebelumnya (Kes 9306 dan kes 9291) yang merupakan kontak rapat dari kes indeks.

"Ini menjadikan jumlah kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini sebanyak lima kes," katanya. 

Satu kluster baru

Sementara itu, Noor Hisham berkata terdapat satu kluster baru terpencil melibatkan kakitangan sebuah kapal di Pelabuhan Port Dickson.

Beliau berkata kapal berkenaan mempunyai sejarah perjalanan dari Pelabuhan Singapura.

Seramai 34 orang krew kapal yang bertugas dalam kapal tersebut telah disaring pada 28 Ogos bagi tujuan sign-in dan sign-off kapal.

Daripada jumlah ini, empat kes dikesan positif, manakala enam individu disahkan negatif dan 24 individu masih menunggu keputusan.

"Keempat-empat kes positif ini tidak bergejala dan pada awalnya dikuarantin di sebuah hotel di Selangor.

"Setelah dikesan positif, mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor. Justeru, tidak membawa risiko penularan jangkitan di dalam komuniti kerana ia merupakan kluster import yang terpencil (isolated) di sebuah kapal.

Kes baru ini menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 9,340 kes. 

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan enam pesakit telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar daripada hospital.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS