Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahli DAP Sarawak lapor polis isu kenyataan Zawawi
Diterbitkan:  Aug 31, 2020 11:46 AM
Dikemaskini: 4:29 AM

Tiga ahli DAP Sarawak membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pasir Puteh Muhammad Zawawi Salleh berhubung isu kenyataannya berkenaan kitab Injil.

Laporan itu dibuat oleh Brolin Nicholson yang merupakan pembantu khas kepada pengerusi DAP Sarawak, Anggota Parlimen Stampin Julian Tan dan anggota pemuda DAP negeri Anthony Chin di Balai Polis Sekama di Kuching, semalam.

“Jika dia ingin melakukan dialog, kami sedia berdialog dengannya dan meminta dia tidak hanya berdialog dengan ahli Parlimen saja,” kata tiga individu itu dalam satu kenyataan, menurut laporan Free Malaysia Today.

Ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 di Dewan Rakyat minggu lalu, Zawawi berkata tidak ada agama yang membenarkan penganutnya meminum arak.

Dia kemudian dicelah oleh Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang mengatakan bahawa kenyataan Zawawi itu tidak tepat dengan memberitahu bahawa agama lain membenarkan minum arak tetapi tidak memabukkan.

Zawawi bagaimanapun ketika itu mempertahankan kenyataannya dan berkata kitab Injil "dipesongkan atau diubah".

Susulan daripada itu, Persatuan Gereja di Sarawak menggesa Zawawi menarik semula kenyataannya itu dan memohon maaf, selain menyifatkannya sebagai tidak sensitif dan melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Zawawi berkata dia tidak akan meminta maaf dan tidak berhasrat memburukkan mana-mana agama, serta sedia berdialog dengan mana-mana ahli parlimen berkenaan perkara itu.

Dalam pada itu, tiga ahli DAP Sarawak itu menggesa Zawawi menunjukkan bukti kitab Injil "dipesongkan".

Kata mereka, ia boleh dibuat melalui bukti bibliografi, arkeologi dan ujian dalaman yang merupakan kedah dalam menentukan kesahihan sesebuah teks purba.

“...Jika benar kitab Injil telah dipesongkan, di mana ia telah dipesongkan? Siapa yang memesongkan kitab Injil tersebut dan pada tahun bila ia diubah atau dipesongkan? Kerana bagi orang Kristian, kitab Injil ialah sahih dan tidak diubah.

“Adakah Zawawi hanya membuat kenyataan berdasarkan cakap-cakap yang tiada bukti kukuh, tanpa betul-betul mengkaji kitab Injil orang Kristian?" soal mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS