ULASAN | Sekolah mana yang cetuskan perkauman- sekolah aliran atau kebangsaan?
Parti politik mana yang cetuskan perkauman – parti satu kaum atau parti berbilang kaum?
Dari manakah Wan Ahmad Fayhsal, Ketua Armada Nasional mendapat hujah dan fakta bahawa sekolah vernakular perlu dimansuhkan secara berperingkat kerana ia adalah antara faktor yang membantutkan integrasi kaum di negara ini?
Apakah kajian yang Ketua Armada itu bentangkan untuk kita menyokong pandangan beliau?
Beliau juga berkata usaha berkenaan perlu menjadi keutamaan agenda nasional dan bukannya digunakan sebagai bahan politik untuk sekadar meraih undi.
Namun adakah kita percaya dengan sesungguhnya, bahawa tindakan Parti Bersatu pada awalnya ditubuhkan sebagai Parti Melayu bukan untuk meraih undi dan hari ini tiba-tiba parti ini membuka keahlian kepada bukan Melayu - bukankah juga satu langkah untuk meraih undi atau untuk kekal memerintah?
Sebenarnya pandangan Wan Ahmad Fayhsal ini juga disokong oleh ramai orang.
Biasanya mereka yang menuntut sekolah vernakular ini ditutup melihat diri mereka sebagai jaguh perpaduan tetapi hakikatnya adalah setiap kali mereka berhujah perkara ini, maka semakin rapuh dan renggang pula hubungan perkauman di Negara kita.
Saya berpendapat ideologi sebuah parti mencerminkan perwatakan parti itu dalam menangani isu perkauman.
Dalam hujah yang sama, bolehkah saya mengusulkan semua parti perkauman seperti Umno, Bersatu, MIC, MCA dan sebagainya harus dimansuhkan kerana sifatnya adalah sama juga dengan sekolah vernakular – satu aliran. Adakah Wan Ahmad akan setuju dengan hujah ini?
Selain itu, ada pula penyokong sekolah aliran yang dengan cepat akan menuntut sekolah-sekolah agama ditutup kerana sifatnya juga sama dengan sekolah-sekolah vernakular.
Ini adalah reaksi membalas dendam lebih daripada hujah bernas, setiap kali wujud desakan tutup sekolah vernakular. Yang amat melucukan adalah hampir tiada orang yang membantah kewujudan sekolah-sekolah International yang hanya mengajar bahasa Inggeris, selain daripada ia menjadi sekolah elit untuk mereka yang berada sahaja.
Dalam parti PSM, antara pemimpin-pemimpin PSM yang belajar di sekolah vernakular adalah Soh Sook Hwa, Choo Chon Kai manakala yang belajar dari Sekolah Tamil adalah Sivaranjani dan Bawani KS.
Namun saya mendapati mereka langsung tidak berpendirian perkauman dalam hujah dan pemikiran mereka berbanding dengan saya dari Sekolah kebangsaan. Mereka mengetengahkan politik kelas daripada politik kaum dan agama.
Pada masa yang sama, ramai kawan-kawan saya yang belajar di sekolah kebangsaan yang mempunyai pendirian perkauman yang tebal?
Mungkinkah jika pemimpin-pemimpin PSM yang belajar dari sekolah vernakular ini berada dalam parti politik perkauman seperti MCA atau MIC, mungkinkah pemikiran mereka juga akan berbeza? Bagaimana kita boleh menerangkan fenomena ini yang jauh berbeza dari pandangan aliran utama yang berpendapat sekolah vernakular membiakkan pelajar perkauman?
Biar saya cuba membawa analogi berikut. Semasa peristiwa 13 Mei 1969 yang dilihat sebagai titik hitam rusuhan perkauman di negara kita; ada satu pemerhatian penting dibuat di mana rusuhan perkauman begitu ketara di pantai barat tetapi di negeri-negeri pantai timur macam Terengganu dan Kelantan, rusuhan perkauman ini langsung tidak berlaku. Kedai-kedai cina di Kelantan dan Terengganu tidak diusik atau dibakar.
Mengapa ini berlaku adalah kerana di negeri-negeri tersebut, jumlah orang Melayu adalah lebih 95 peratus maka mereka tidak terasa terancam oleh perasaan “insecurity” atau terasa terancam dengan kehadiran kaum lain manakala di pantai barat pula, masyarakatnya lebih majmuk dan komposisi orang Melayu dan bukan Melayu mungkin separuh separuh, maka perasaan terancam itu lebih dirasai.
Mereka dalam masyarakat majmuk lebih senang diprovokasi dan ditakut-takutkan. Isu Kampung Medan, kuil Seafield, isu kepala lembu semua berlaku di negeri Selangor di mana komposisi kaumnya lebih majmuk.
Sekarang bandingkan hujah ini dengan keadaan sekolah aliran dan kebangsaan. Di manakah akan wujud lebih ketegangan kaum?
Sebagai contoh apabila saya membuat pemerhatian dan pemantauan mengenai masalah gangster di kalangan masyarakat India, saya mendapati masalah ini tidak ketara wujud di sekolah tamil atau tidak wujud di ladang-ladang di mana populasi masyarakat itu adalah tinggi.
Di tempat-tempat ini, masyarakat India tidak terasa terancam. Tetapi di sekolah-sekolah kebangsaan, masalah gangsterism lebih ketara. Ini adalah kerana di sekolah kebangsaan, pelajar India (bukan semua) merasakan diri mereka lebih terancam; mereka merasakan mereka didiskriminasi oleh kaum majoriti dan maka itu, mereka menyertai kumpulan-kumpulan gangster ini untuk tujuan antaranya tujuan keselamatan diri mereka.
Dengan pemantauan ini sendiri, kita dapat menghuraikan bahawa wujud perasaan lebih perkauman di kalangan pelajar sekolah kebangsaan daripada sekolah satu aliran.
Dikatakan sekolah cina bertapak di negara ini pada tahun 1815 di Melaka dan pada tahun 1920 sahaja, sudahpun ada lebih 500 sekolah cina di Negara kita. Sekolah tamil pertama pula dicatatkan pada tahun 1816 di Pulau Pinang tetapi pada tahun 1912, British telah memperkenalkan Ordinance Buruh 1912 yang mewajibkan pemilik ladang estet untuk membuka sekolah tamil jika ada lebih dari 10 murid.
Maka sekolah tamil diwujudkan dengan satu niat untuk mengekalkan buruh pekerja ladang dikawal di ladang masing-masing dan keadaan sekolah-sekolah Tamil ini pula amat teruk.
Walaupun sekolah-sekolah ini sudah wujud lebih ratusan tahun lalu, tetapi isu melabel sekolah-sekolah ini sebagai sekolah yang membawa perkauman hanyalah lebih ketara setelah wujudnya parti-parti politik perkauman.
Keadaan ini juga lebih ketara apabila ada cubaan dan polisi-polisi untuk menghalang hak bahasa ibunda dan sebagai reaksinya wujud perasaan untuk menyelamatkan sekolah-sekolah ini.
Suka atau tidak suka - bahasa Melayu adalah bahasa pengantar utama rakyat Malaysia. Perkara ini tidak boleh dinafikan dan memang hampir semua orang dapat bertutur bahasa Melayu. Semua kaum pun sudah terima hakikat ini dan jika tak percaya pergilah ke pasar-pasar dan lihatlah sendiri bagaimana orang berinteraksi. Tidak ada bahasa lain yang boleh gantikan tempat bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan isu ini sudahpun selesai dan dah lama diterima.
Kehadiran sekolah vernakular tidak pernah mengugat perpaduan perkauman atau mencabar bahasa pengantar utama rakyat Malaysia.
Namun setiap kali ada ahli politik yang menuntut untuk sekolah vernakular ini ditutup, maka perasaan perkauman, diskriminasi dan ancaman kepada bahasa-bahasa ibunda menjadi agenda utama dan ini merapuhkan perpaduan kaum.
Tulisan ini tidak bermatlamat untuk menafikan kepentingan sekolah kebangsaan. Ia hanya bertujuan untuk mengatakan tidak ada hujah bukti saintifik bahawa sekolah vernakular merapuhkan perpaduan dan sekolah kebangsaan memantapkan perpaduan.
Tetapi yang amat jelas adalah parti politik perkauman mempunyai agenda perkauman yang jelas dan nyata dan ia lebih bahaya kepada perpaduan negara daripada sekolah vernakular.
Selamat menyambut minggu kemerdekaan.
S ARUTCHELVAN ialah timbalan pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.