mk-logo
Berita
Keluarga Amri, Raymond masih tunggu hasil siasatan pasukan khas
Diterbitkan:  Aug 30, 2020 9:04 AM
Dikemaskini: 2:19 PM

Menjelang empat tahun kehilangan paderi Raymond Koh dan aktivis sosial, Amri Che Mat esok, keluarga masih mengharapkan perhatian kerajaan berkenaan penyelesaian isu tersebut.

Isteri kepada Amri, Norhayati Mohd Ariffin meluahkan rasa kecewa kerana dia masih belum mendapat respons sejak setahun penubuhan pasukan petugas khas bagi menyiasat kehilangan suaminya.

"Apa yang saya kecewa dari jawatankuasa khas, sehingga hari ini masih tiada sebarang maklumat atau berita kami terima. Sudah hampir setahun berlalu begitu.

"Saya merayu dan mohon kepada kerajaan Malaysia agar ambil tindakan dan beri perhatian terhadap kes kehilangan ini. Saya harap suara saya didengari," katanya.

Norhayati berkata demikian menerusi video dalam webinar yang dianjurkan Kumpulan Tindakan Masyarakat Mengenai Kehilangan Paksaan (Caged) berhubung kehilangan kedua-dua individu itu.

Turut hadir pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa Dr Yazid Zulkifli, pengamal perundangan Andrew Khoo serta isteri Koh, Susanna Liew.

Penubuhan pasukan petugas khas itu diumumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 26 Jun 2019, susulan pendedahan laporan inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Bekas hakim mahkamah tinggi, Abd Rahim Uda, dilantik mengetuai pasukan petugas khas itu, selain dianggotai bekas ketua bahagian perundangan PDRM, Mokhtar Mohd Noor; Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM, Zamri Yahya; Pengarah Operasi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Muhammad Bukhari Ab Hamid; Pegawai Undang-undang Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Mohd Sophian Zakaria, dan Setiausaha Bahagian, Suruhanjaya Pasukan Polis, Mohd Russaini Idrus.

Menteri dalam negeri ketika itu Muhyiddin Yassin berkata pasukan terbabit diberi tempoh enam bulan untuk melengkapkan tugas tersebut.

Ketika membentangkan laporan inkuiri tersebut, Suhakam pada 3 April menyatakan anggota polis Cawangan Khas (SB) terlibat dalam kehilangan paksa Koh yang diculik pada 2017 dan dan Amri yang hilang pada 2016.

Sementara itu, anak kepada Koh, Esther menerusi video turut berkongsi kenangan bersama ayahnya.

"Dia adalah orang yang ajar saya banyak tentang kehidupan, kenangan manis bersama ayah (Koh) adalah apabila dia belikan pokok Krismas untuk saya," katanya sebak sambil meluahkan rasa rindu terhadap bapanya.

Selain itu, Liew turut berkata dia berharap tiada siapa yang perlu melalui perkara ini.

"Harapan saya supaya tiada orang akan terseksa seperti apa yang saya lalui (kehilangan suami)," katanya.

Untuk rekod, Koh, 64, diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng ketika memandu di Kelana Jaya, Selangor pada 13 Februari 2017, manakala Amri, 44, yang merupakan pengasas bersama NGO Perlis Hope, hilang pada 24 November 2016.

Selain itu, Dr Yazid turut menambah bahawa setiap individu memainkan peranan penting dalam untuk menguar-uarkan isu berkenaan kehilangan paksa.

"Banyak perkara boleh dilakukan, kita kena bekerjasama bagi raih perhatian kerajaan berkenaan isu itu. Kita boleh adakan webinar dan dapatkan pendedahan media, tulis di surat khabar.

"Kita harus buat semuanya untuk memastikan dapat perhatian kerajaan dan rakyat berkenaan isu kehilangan paksa itu," katanya.

Sementara itu, Khoo juga berharap supaya boleh membincangkan perkara ini dengan anggota parlimen.

Katanya lagi, ini mungkin dapat menjadi satu cara supaya isu kehilangan paksa ini diberi pendedahan.

"Kita boleh bangkitkan isu kepada ahli parlimen, tulis di Facebook page mereka, dapatkan bantuan mereka supaya isu kehilangan paksa ini lebih dapat perhatian,"

Mereka berkata demikian pada sesi soal jawab bersama penonton webinar yang bertanya apa yang boleh dilakukan sebagai individu untuk memastikan isu kehilangan paksa ini mendapat perhatian. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS