Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Surau buluh RM400k bakal jadi ikon pelancongan di T'ganu - Khairuddin

Terengganu bakal mempunyai ikon pelancongan baharu apabila sebuah surau berasaskan buluh bakal dibina di Dataran Tembesu di Kuala Nerus tidak lama lagi.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata pembinaan surau yang dianggarkan melibatkan kos RM400,000 itu akan turut menjadi pusat penyelidikan dan kajian berkaitan buluh yang pertama di negara ini.

“Surau daripada buluh yang berkeluasan 3,000 kaki persegi ini akan dijadikan contoh penyelidikan dalam bidang buluh, pembinaannya akan dijadikan manual… dari awal kita bina surau itu akan direkodkan untuk dijadikan bahan kajian. Surau tersebut akan dijadikan model untuk pembinaan berasaskan buluh oleh sesiapa sahaja.

“Kini kerja-kerja meratakan tanah bagi tapak surau tersebut sedang dijalankan dan pembinaannya dijangka mengambil masa sembilan bulan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Seminar Aplikasi Buluh Dalam Industri Pembinaan, di Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri Dr Azman Ibrahim dan Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) Jugah Muyang.

Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata kementerian akan membangunkan projek Model Ladang Hutan Buluh di kawasan seluas 15 hektar di Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC) di Kuala Berang, melibatkan peruntukan RM5 juta pada tahun hadapan.

Pelaksanaan projek tersebut, katanya, diharap dapat menjadi panduan kepada pemain industri untuk menceburi bidang perladangan seterusnya menyumbang kepada bahan mentah bagi pembuatan produk berasaskan buluh.

Mohd Khairuddin berkata kementerian kini giat berkempen menggalakkan orang ramai menanam buluh secara komersial memandangkan kebanyakan bekalan buluh negara pada ketika ini bergantung kepada hasil hutan yang bekalannya tidak konsisten.

“Malaysia mengeksport RM9.6 bilion produk berasaskan kayu sehingga suku kedua tahun ini. Amerika Syarikat adalah pengimport terbesar produk kayu negara dengan nilai sebanyak RM2.87 bilion atau 30 peratus daripada keseluruhan eksport negara. Namun daripada jumlah tersebut, eksport buluh dan produk berasaskan buluh hanya sebanyak RM3 juta.

“Oleh itu kita (kementerian) mahu buluh ditanam pada skala yang besar atau di peringkat perladangan. Kita berikan peruntukan bersifat pembiayaan berasaskan syariah pinjaman mudah. Untuk satu hektar kita berikan RM10,000 yang hanya perlu dibayar pada tahun ketujuh, sedangkan hasil buluh boleh dituai pada tahun keempat ia ditanam,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Samsuri berkata sehingga Julai tahun ini, terdapat 52 pengeksport kayu di Terengganu yang menyumbang peningkatan jumlah eksport dari RM105 juta pada 2017 kepada RM114 juta pada 2019.

Selain itu terdapat 66 pengusaha industri kecil dan sederhana terutama bumiputera dalam bidang kayu-kayan di Terengganu yang menghasilkan produk ukiran kayu, pembuatan bot, perabot dan sebagainya.

“Walaupun ada peningkatan jumlah eksport dari RM105 juta kepada RM114 juta, ia masih lagi tidak cukup dan mempunyai banyak lagi ruang yang boleh dimanfaatkan oleh pemain industri dan orang perseorangan termasuk dalam industri berkaitan buluh,” katanya.

Terdahulu, berlangsung majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara MTIB dengan Bamboo Jungle Adventures Sdn Bhd (BJA) dan Golden Pharos Berhad bagi pembangunan sebuah Manual Aplikasi Buluh untuk kegunaan pemain industri pembinaan berasaskan buluh.

MTIB diwakili Ketua Pengarahnya Mohd Kheiruddin Mohd Rani, BJA diwakili Pengarah Urusannya Anum Nazahah Ahmad Mazlan manakala Golden Pharos diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ahmad Nadzarudin Abdul Razak.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS