PRK SLIM | Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan kemenangan calon BN Mohd Zaidi Aziz dalam PRK Slim, menewaskan dua calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang disokong Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan S Santharasekaran.
Menurut keputusan rasmi, Zaidi menang dengan majoriti 10,945 undi apabila meraih 13,060 undi, berbanding Amir yang mendapat 2,115 undi dan Santharasekaran dengan 276 undi.
Peratus keluar mengundi pula 68.4 peratus.
Amir bagaimanapun berjaya mendapat 13.6 peratus, menandakan dia tidak hilang deposit.
Santharasekaran pula hilang deposit apabila hanya meraih 1.79 peratus undi.
Calon akan hilang deposit RM5,000 jika gagal meraih sekurang-kurangnya 12.5 peratus daripada keseluruhan undi.
PRK itu diadakan berikutan kematian ahli parlimennya, Mohd Khusairi Abdul Talib, dari BN, akibat serangan jantung, 15 Julai lalu.
Mohd Zaidi merupakan ketua Umno bahagian Tanjung Malim, manakala Amir Khusyairi adalah seorang peguam bebas dan S Santharasekaran pula bekas guru.
Pada PRU14, Allahyarham Mohd Khusairi menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.
Dun Slim mempunyai 22,749 pengundi di mana 75 peratus pengundi adalah berbangsa Melayu, diikuti kaum India (13 peratus), Cina (10 peratus), dan lain-lain (dua peratus).