Satu video muncul memaparkan bekas menteri besar Johor Osman Sapian berkata Bersatu telah "menyeleweng" daripada perjuangan asalnya.
Video yang dimuat naik oleh Johorkini di Facebook itu, nampaknya berasal daripada rakaman ketika Adun Kempas berkenaan dilihat bersama parti Pejuang di Slim pada malam Isnin.
Video itu diedit dan bermula dengan Osman berkata ".... mencapai kemenangan dan menewaskan calon Barisan Nasional."
"Walaupun saya masih menjadi wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri Kempas, Johor, saya masih lagi Bersatu, Bersatu ini masih lagi dalam kerajaan Perikatan Nasional. Tapi saya tak kisah itu semua.
"Apa yang saya fikirkan perjuangan yang suci ikhlas.
"Kita mahu lihat suatu perubahan.Di mana Bersatu yang ada telah pun menyeleweng daropada perjuangan asal," kata menjelaskan pada PRU14, parti itu berjuang untuk mengalahkan kerajaan BN yang rasuah.
Video itu berakhir selepas Osman merujuk pengerusi protem Pejuang Dr Mahathir Mohamad sebagai "ayahanda".
Ketika dihubungi oleh Malaysiakini, Osman cuma menjawab ringkas, "biasalah."
Terdahulu, beliau berkata kehadirannya di Slim untuk menziarahi kawan-kawan dan urusan perniagaan. Bagaimanapun, Osman dilihat bersama orang kuat Mahathir, Abu Bakar Yahya.
Rasa tidak puas hati Osman terhadap Bersatu boleh menimbulkan masalah besar untuk PN di Johor.
PN Johor mempunyai 29 kerusi di DUN berbanding 27 yang dimiliki Pakatan Harapan. Ia hanya memerlukan seorang saja wakil rakyat dari PN berpaling tadah maka akan mengakibatkan DUN digantung.
Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah bertitah memberi amaran bahawa baginda akan membubarkan DUN - yang dijadualkan bersidang semula pada 10 September - jika ada perebutan kuasa lain.
Dua minggu lalu, beliau menolak spekulasi Adun Johor Bersatu akan berpaling tadah menyertai Pejuang, menyifatkannya sebagai "khabar angin".
Bagaimanapun, seorang anggota kanan Adun Johor Bersatu sebelum ini berkata terdapat minat yang kuat di kalangan akar umbi untuk menyertai parti baru Mahathir.
Penampilan Osman bersama Pejuang muncul setelah beliau gagal mendapat tempat dalam Majlis Tertinggi Bersatu pada pemilihan parti yang berakhir Sabtu lalu.
Adun Kempas itu antara pemimpin Bersatu Johor yang lantang mengkritik Menteri Besar Hasni Mohammad kerana didakwa mengetepikan parti itu setelah Umno mengambil alih kerajaan negeri.
Suatu rancangan mengambil alih semula kerajaan di Johor telah dibuat sebelum ini namun Sultan Ibrahim menghentikan tindakan itu apabila baginda memberi amaran akan mengadaan pilihan raya negeri.