Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKPP dilanjutkan sehingga 31 Disember
Diterbitkan:  Aug 28, 2020 8:16 PM
Dikemaskini: 1:09 PM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dilanjutkan sehingga 31 Disember.

Muhyiddin berkata, walaupun keadaan wabak Covid-19 dalam negara adalah terkawal, kerajaan masih memerlukan mekanisme undang-undang untuk meneruskan usaha-usaha mencegah dan mengawal penularannya.

"Justeru, demi kepentingan saudara-saudari sekalian, kerajaan telah memutuskan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dilanjutkan sehingga 31 Disember ini," katanya menerusi satu perutusan khas yang disiar secara langsung sebentar tadi.

Dengan lanjutan itu, Muhyiddin berkata tidakan penguatkuasaan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) masih boleh diambil.

"Ini untuk memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan yang ditetapkan," katanya menerusi satu perutusan khas yang disiar secara langsung sebentar tadi.

PKPP mula dikuatkuasakan mulai 10 Jun lalu bagi menggantikan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), dengan lebih banyak kelonggaran dalam kegiatan ekonomi dan sosial.

Dengan penguatkuasaan PKPP, hampir semua kegiatan sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan dan sektor ekonomi akan beroperasi semula secara berperingkat, dengan pematuhan sepenuhnya terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Bagaimanapun kegiatan perniagaan, termasuk kedai serbaneka 24 jam, masih dihadkan sehingga 12 tengah malam.

Muhyiddin berkata lagi, Malaysia masih berdepan risiko penularan wabak Covid-19 seperti yang dapat dilihat dengan wujudnya beberapa kluster baru seperti Sivagangga, Tawar dan Sala di Kedah, Sanglang di Perlis dan satu kluster di Sarawak baru-baru ini.

"Risiko ini perlu ditangani segera dan dikawal dengan tindakan-tindakan yang tegas dan tangkas sebelum ia merebak dengan lebih meluas," katanya.

Mengambil kira tempoh yang lama sebelum negara bebas sepenuhnya daripada wabak itu, Muhyiddin berkata kerajaan akan terus melaksanakan pendekatan bersasar di kawasan yang terdapat jangkitan, misalnya menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar.

"Walaupun PKPP dilanjutkan, saya yakin kehidupan saudara-saudari tidak akan terjejas kerana aktiviti seharian boleh dilaksanakan dengan pembudayaan norma baru dan pematuhan SOP.

"Saya percaya semua ini telah pun anda lakukan selama ini sehingga kita berjaya mengekang penularan wabak Covid-19 dalam masyarakat kita.

"Kita semua adalah frontliners yang berada di barisan paling depan untuk memerangi wabak ini. Saya percaya jika kita dapat mainkan peranan masing-masing, negara kita akan berjaya untuk bebas daripada wabak ini dengan lebih cepat," katanya lagi.

Susulan lanjutan ini, Muhyiddin turut mengumumkan Tabung Covid-19 di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan dilanjutkan, juga sehingga 31 Disember, dengan semua pihak boleh terus memberi sumbangan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS