Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada sebab untuk letak jawatan, kata Khairuddin

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata tiada sebab untuknya meletakkan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi susulan kegagalan mematuhi perintah kuarantin wajib pada bulan lalu.

Khairuddin berkata ini dia tidak membuat sebarang kesalahan yang membabitkan tugasnya.

"Saya tak buat salah melibatkan kerja, tetapi melibatkan kekhilafan dalam isu prosedur operasi standard (SOP).

"Sebenarnya saya tak nak buat keterangan panjang (berkenaannya) dan serahkan kepada polis, walaupun saya ada pandangan sendiri.

"Bagi saya (isu itu sudah) selesai, walaupun saya ada pandangan sendiri," katanya kepada pemberita di Slim River hari ini.

Semalam, Khairuddin yang juga anggota Jawatankuasa Pusat PAS memberi keterangan di Bukit Aman berhubung perkara itu. Polis membuka kertas siasatan susulan terdapat 27 laporan polis terhadapnya.

Pada 22 Ogos lalu, Kementerian Kesihatan memaklumkan telah mengeluarkan kompaun RM1,000 terhadap Khairuddin selepas didapati bersalah menurut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Dia juga menyuarakan permohonan maaf pada hari sama, dan berikrar untuk memulangkan empat bulan gajinya sebagai menteri.

Dalam pada itu, Khairuddin memaklumkan polis turut mengambil keterangan tiga ahli keluarganya.

Katanya, dia menjelaskan kepada polis bahawa kunjungannya ke Turki bersifat 'separa rasmi'.

"Antaranya rundingan projek melbatkan Terengganu yang belum selesai selepas saya menjadi menteri, dan yang lainnya berkenaan kelapa sawit," katanya lagi, sambil memaklumkan dia bertemu dengan beberapa tokoh utama dalam rundingan berkenaan eksport minyak sawit ke Greece dan negara Balkan.

Katanya lagi, semalam juga kali pertama dia memberi keterangan kepada polis, bukan kali kedua seperti yang dilaporkan.

Untuk rekod, Bernama sebelum ini melaporkan polis mengambil keterangannya di Parlimen pada 26 Ogos lalu.

Ditanya sama ada isu tersebut menjejaskan kerjanya, dia berkata: "Tidak. Manusia mana tak buat silap? Biasa saja".

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS