Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM fail rayuan lucut hak wang RM100k dari Kasitah Gadam

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya bagi melucut hak wang RM100,000 daripada bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gadam.

Wang berkenaan dibekukan oleh SPRM pada 2018, yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mohaide ketika dihubungi berkata rayuan tersebut difailkan Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara di Mahkamah Rayuan pada 28 Julai lalu.

Sementara itu, peguam Sasila Basri yang mewakili Kasitah berkata tarikh pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan telah ditetapkan pada 17 Sept depan.

Pada 24 Julai lalu, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan SPRM selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan wang yang disita daripada akaun Kasitah di Bank CIMB Berhad adalah hasil daripada aktiviti haram.

Dalam penghakimannya, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh berkata bahasa dalam Seksyen 56(2)(a)(iii) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 adalah jelas berkaitan dengan permohonan tersebut iaitu wang yang boleh dilucutkan mestilah wang hasil daripada aktiviti haram.

“Pemohon hanya menunjukkan resit RM100,000 dalam akaun responden (Kasitah) tetapi gagal mengambil langkah paling penting untuk menunjukkan bahawa wang yang berasal daripada akaun bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah hasil daripada aktiviti yang tidak sah,” katanya.

Ahmad Shahrir berkata mahkamah sehubungan itu menolak permohonan pendakwaan selepas mendapati melalui imbangan kebarangkalian bahawa pemohon tidak berjaya membuktikan mengikut Seksyen 56 AMLATFPUAA bagi mendapatkan perintah supaya wang dalam akaun itu dilucut hak.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS