Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam asak bekas setiausaha Zahid isu 'cuai' kendali cek Yayasan Akalbudi

KES ZAHID | Bekas setiausaha Ahmad Zahid Hamidi, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly diasak berhubung caranya mengendalikan cek milik Yayasan Akalbudi, dalam perbicaraan kes rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah bekas timbalan perdana menteri itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Pemeriksaan balas dengan peguam Ahmad Zaidi Zainal berkisar tentang kecuaian Mazlina, yang merupakan saksi pendakwaan ke-90, dalam menggunakan cek yayasan bagi membayar hutang kad kredit Zahid.

Ketika disoal balas, Mazlina mengaku dia tidak memiliki kad kredit sendiri tetapi tahu perbezaan antara pemegang kad prinsipal dan pemegang kad suplementari.

Zaidi: Tahu tak, kalau ikut prosedur membayar kad kredit, cuma perlu satu cek untuk satu penyata. Tahu tak? Tak perlu keluarkan dua atau tiga cek untuk satu penyata (yang mengandungi beberapa kad di dalam penyata yang sama)?

Mazlina: Tahu.

Zaidi kemudian membangkitkan mengenai apa yang menurutnya kesilapan Mazlina, antaranya berhubung jumlah yang sepatutnya dibayar pada penyata kad kredit serta kesilapan tarikh pada cek.

Dia merujuk satu penyata kad kredit bertarikh 28 Disember 2013 yang mempunyai jumlah baki semasa (jumlah perlu dibayar) sebanyak RM65,153.32, namun Mazlina membuat bayaran sebanyak RM 71,283.17 menerusi dua cek berasingan, yang merupakan jumlah baki semasa bagi dua kad kredit - RM63,701.52 dan RM7,581.65.

Zaidi: Ini satu kesilapan yang Puan Mazlina telah buat. Betul?

Mazlina: Ya.

Mazlina juga mengaku dia tidak pernah menunjukkan cek-cek berkenaan kepada Zahid dan menggunakan cap tandatangan walaupun pembayaran cek dibuat awal daripada tarikh akhir pembayaran.

Dia membuat pembayaran menggunakan cek pada 9 Januari 2014, iaitu lapan hari lebih awal daripada tarikh akhir 17 Januari 2014.

Dalam pernyataan sebelum ini, dia berkata menggunakan cap tandatangan Zahid untuk cek Yayasan Akalbudi untuk mempercepat proses pengeluaran cek memandangkan Zahid sibuk, dan kad kredit akan disekat jika lewat membuat bayaran.

Merujuk penyata kad kredit bertarikh 28 Januari 2014, Mazlina turut melangsaikan bayaran itu menerusi dua cek berasingan untuk dua kad kredit, meskipun dua hutang kad kredit itu dalam penyata sama.

Berkenaan penyata itu, Zaidi mempersoalkan tarikh dua keping cek iaitu 7 Januari 2014, lebih awal daripada tarikh penyata dan tarikh bayar dalam penyata tersebut.

Zaidi: Ini juga menunjukkan kecuaian Puan Mazlina. Betul?

Mazlina: Ya.

Merujuk penyata bertarikh 28 Februari 2014, dengan jumlah baki semasa RM 8001.54, Mazlina mengaku merujuk bahagian baki terdahulu (previous balance) dan membuat bayaran RM20,858.36, dan mengaku itu satu lagi kesilapannya.

Merujuk penyata bertarikh 28 Mac 2014 pula, dengan jumlah baki semasa RM 64668.24, dia berkata membuat bayaran RM2,600 menerusi dua keping cek, setelah menghubungi pihak bank untuk mengetahui jumlah minimum bayaran bagi mengelak kad disekat.

Untuk kesemua cek berkenaan, Mazlina mengaku menggunakan cap tandatangan Zahid.

Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan CBT melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Dalam pertuduhan pecah amanah (CBT), dia dituduh menyeleweng RM31 juta dana Yayasan Akalbudi- yang mana dia merupakan pengasas, pemegang amanah, dan penandatangan tunggal.

Pihak pembelaan sebelum ini pernah mencadangkan ada cek dicap tanpa pengetahuan Ahmad Zahid, dan Mazlinalah yang menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat pembayaran kad kredit, sedangkan dia sepatutnya menggunakan wang dari akaun peribadi Ahmad Zahid.

Peguam turut mendakwa mejar Mazlina sering melakukan kesilapan seperti menghantar cek kosong tanpa tandatangan kepada bank sehingga cek dipulangkan semula.

Kebenaran sekali atau menyeluruh?

Terdahulu, Mazlina setuju dengan cadangan Zaidi bahawa cap tandatangan itu adalah untuk kegunaan kad jemputan dan sijil secara "lambak".

Dia juga setuju bahawa dengan latar belakang Zahid yang pernah menjadi pegawai dan pengerusi bank, dia seorang yang sangat berpengalaman dalam bidang perbankan terutama tentang cek.

Bagaimanapun, Mazlina berkata tidak tahu apabila Zaidi mengatakan bank tidak boleh menerima cek yang dicap kecuali dengan resolusi daripada pemegang akaun.

Sedangkan, menurut Zaidi, Yayasan Akalbudi tidak pernah berbuat demikian.

Zaidi: Maka kalau saya katakan tidak logik kalau Datuk Seri Zahid sebagai bekas pegawai bank kanan, membenarkan anda gunakan cap tandatangan untuk cek tersebut. Setuju?

Mazlina: Tak setuju.

Dalam keterangan sebelum ini, Mazlina berkata dia pertama kali menggunakan cap itu pada 2014 setelah mendapat kebenaran Zahid, yang menurut Zaidi, kebenaran yang bersifat one off.

Mazlina pula berkata dia mengandaikan kebenaran itu adalah secara menyeluruh.

Zaidi: Saya katakan Datuk Seri Zahid tidak pernah pada bila-bila masa sekalipun memberi kebenaran untuk menggunakan cap tandantangan untuk cek Yayasan Akalbudi. Setuju?

Mazlina: Tidak setuju. 

Zaidi merujuk 11 lagi penyata kad kredit bertarikh dari Jun 2014 hingga Mac 2015, dan menyoal Mazlina berkenaan apa yang didakwanya sebagai kesilapan dalam penyediaan cek seperti yang berlaku sebelum itu.

Sepanjang perbicaraan, Zaidi membangkitkan 15 penyata kad kredit dan 30 salinan cek - yang kebanyakannya diakui Mazlina ditandantanganinya menggunakan cap tandatangan Zahid.

Untuk beberapa transaksi, Zaidi bertanya kenapa Mazlina masih menggunakan cap Zahid sedangkan pembayaran dibuat melepasi tarikh akhir, berbeza dengan keterangannya sebelum ini bahawa dia menggunakan cap untuk mengelakkan kelewatan bayaran.

Untuk itu, Mazlina menjawab dia tidak ingat sebab dia berbuat demikian.

Dia juga menjawab "tidak ingat" dan "terlepas pandang" ketika beberapa kali diminta penjelasan berkenaan transaksi lain.

Pada satu cek, terdapat nombor akaun yang menurut Zaidi sebagai nombor tidak dikenali dan bukan kepunyaan mana-mana kad kredit Zahid.

Zaidi: Itu (nombor) kad kredit siapa?

Mazlina: Saya tak ingat.

Mazlina bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Zaidi bahawa dia tidak pernah menunjukkan penyata kad kredit kepada Zahid meskipun diminta oleh bekas timbalan perdana menteri itu.

Zaidi: Saya juga katakan Puan Mazlina menyorokkan penyata bulanan kad kredit, kerana takut diketahui oleh Datuk Seri Zahid mengenai kesilapan-kesilapan tadi. Setuju?

Mazlina: Tidak.

Saksi nafi sangat rapat dengan keluarga Zahid

Ketika perbicaraan sebelah pagi, Mazlina diasak Zaidi berkenaan ketika dia bertugas sebagai setiausaha eksekutif Zahid.

Pemeriksaan balas itu menjadi panas apabila pendakwaan bangun beberapa kali mengadu kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa soalan yang dikemukakan bersifat “menghina” Mazlina, dan Zaidi diminta menukar caranya menanyakan soalan.

Ketika ditanya Zaidi tentang hubungannya yang dikatakan sangat rapat dengan isteri Zahid, Hamidah Khamis, dan dianggap ibarat keluarganya sendiri, Mazlina menafikannnya.

Ketika bertugas sebagai setiausaha eksekutif Zahid, jawatannya sebagai juruiring (ADC) Hamidah diambil alih oleh ADC polis bernama ASP Zamzarina, dan hubungan mereka menjadi rapat.

Zaidi mencadangkan hal itu mengundang rasa tidak senang hati Mazlina, tetapi Mazlina menafikannya walaupun mengaku ada mengadu kepada Zahid bahawa Zamzarina tidak tahu menjalankan tugas.

Zaidi: Ada satu insiden, Zamzarina minta berjumpa dengan Datuk Seri Zahid, menangis dan merayu supaya ditukar jawatan ADC ke Kementerian Dalam Negeri kerana tidak tahan dengan aduan Puan Mazlina.

Mazlina: Tak setuju.

Zaidi: Saya katakan, akhirnya, ASP Zamzarina ditukarkan kepada KDN, balik ke PDRM, setuju?

Mazlina: Setuju.

Perbicaraan hari ini masuk hari ke-40, dan akan bersambung 21 September nanti. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS