Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tindakan lestari untuk ketua isi rumah wanita B40

ULASAN | Dalam kumpulan yang terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana krisis Covid-19, isi rumah yang diketuai oleh wanita dalam golongan berpendapatan rendah (B40) di Malaysia berada dalam kerugian dari segi sosial dan ekonomi berbanding isi rumah secara keseluruhan.

Isi rumah yang diketuai oleh wanita merujuk kepada isi rumah yang seorang wanita dewasa merupakan pencari pendapatan yang utama atau satu-satunya pencari pendapatan dan mereka juga memikul tanggungjawab sebagai pembuat keputusan.

Namun, tidak ada statistik rasmi untuk memaparkan peratus isi rumah yang diketuai oleh wanita di Malaysia.

Jadi, mengapakah isu ini perlu dibangkitkan?

Hal ini menarik perhatian saya setelah hasil kajian oleh agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Unicef-UNFPA dikeluarkan baru-baru ini iaitu Families on the Edge.

Majlis pelancaran laporan Families on the Edge PBB

Laporan tersebut memberi fokus terhadap kesan krisis Covid-19 ke atas kesejahteraan hidup wanita dan kanak-kanak dalam keluarga yang berpendapatan rendah di Kuala Lumpur.

Mari kita lihat beberapa statistik yang telah dinyatakan dalam laporan tersebut dan ia boleh dijadikan faktor yang kukuh untuk membangkitkan hal ini.

Dalam kajian ini, sebanyak 40 peratus daripada keseluruhan responden merupakan ibu tunggal.

Majoriti ketua isi rumah wanita (50 peratus) menjangkakan keadaan kewangan yang lebih teruk dalam tempoh enam bulan yang akan datang, 31 peratus tidak pasti manakala hanya dua peratus berpendapat bahawa status kewangan mereka akan menjadi lebih baik.

Dari segi pengangguran, ketua isi rumah wanita mencatatkan angka dua digit yang tinggi iaitu 32 peratus manakala kadar pengangguran nasional lebih rendah pada 5.3 peratus.

Status pengangguran tahun ini jauh lebih tinggi daripada kadar pengangguran untuk ketua isi rumah wanita pada tahun yang lalu iaitu sembilan peratus.

Lebih merisaukan lagi, sebahagian besar daripada ketua isi rumah wanita kekurangan pelindungan sosial seperti KWSP dan Perkeso – bagi membantu mereka menghadapi kejutan ekonomi (57 peratus) berdasarkan data pada tahun 2019.

Separuh tak dapat menyimpan

Pada tahun 2020, kajian menunjukkan bahawa hanya 21 peratus daripada jumlah responden yang kehilangan pekerjaan dan mempunyai akses kepada pelindungan sosial pekerjaan adalah wanita.

Tambahan pula, lebih daripada separuh ketua isi rumah wanita tidak dapat berjimat dan walaupun 24 peratus menyatakan bahawa mereka mempunyai simpanan.

Separuh daripada mereka mampu bertahan kurang dari sebulan dan 30 peratus hanya boleh bertahan selama sebulan.

Kanak-kanak dalam isi rumah ini juga mengalami halangan dalam pendidikan disebabkan oleh pembelajaran dalam talian semasa PKP.

Daripada keseluruhan, 56 peratus tidak mempunyai peralatan e-pembelajaran manakala 45 peratus tidak mempunyai akses Internet.

Jadi, berdasarkan statistik yang diambil daripada kajian tentang realiti hidup kumpulan ini, tindakan yang sesuai harus diambil segera untuk cuba mengurangkan kesulitan yang dihadapi oleh mereka yang kurang bernasib baik ini.

Dalam pelan pemulihan ekonomi jangka pendek (Penjana), tidak dapat dinafikan bahawa terdapat langkah-langkah rangsangan yang telah memberi manfaat kepada kumpulan ini terutamanya bantuan tunai seperti subsidi penjagaan anak.

Bantuan Prihatin Nasional (BPN) serta bantuan tunai secara one-off untuk ibu tunggal.

Namun, bantuan-bantuan ini adalah bertujuan untuk membantu mereka dalam jangka masa pendek sahaja.

Bagi membantu kumpulan ini, apa yang diperlukan adalah jalan penyelesaian jangka masa panjang supaya ketua isi rumah dapat mengekalkan kehidupan mereka termasuk menyediakan makanan di atas meja untuk anak-anak mereka di rumah.

Tetapi bagaimana?

Berdasarkan senarai keinginan daripada laporan kajian, terdapat beberapa langkah yang telah dicadangkan oleh para responden.

Bagi membantu mereka seperti penawaran pekerjaan sepenuh masa, peningkatan dalam jumlah insentif serta bantuan jangka masa panjang yang lain.

Oleh itu, inisiatif yang diumumkan oleh kerajaan pada masa akan datang harus mengambil kira cadangan-cadangan tersebut dan boleh disertakan dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada bulan November.

Dengan menggunakan statistik daripada Jabatan Perangkaan.

Salah satu cara untuk membantu kumpulan ini adalah dengan memperkenalkan program pemerkasaan untuk ketua isi rumah wanita dan disasarkan kepada golongan B40.

Inisiatif ini boleh diketuai oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan diletakkan di bawah Dasar Wanita Negara.

Program Pekka Indonesia

Inisiatif tersebut harus merangkumi program pembinaan kapasiti untuk memanfaatkan potensi peserta di samping menyediakan platform pembelajaran untuk mereka seperti program peningkatan kemahiran dan latihan kemahiran, dan juga program pembangunan untuk usahawan.

Peluang pekerjaan khas juga boleh disediakan untuk para peserta yang layak.

Selain itu, insentif harus diberikan kepada mereka yang mahu memulakan perniagaan dan syarat pinjaman kredit mikro juga harus dilonggarkan untuk membantu para usahawan.

Dengan keupayaan ketua isi rumah untuk memperoleh pendapatan, jurang pendidikan bagi kanak-kanak dalam isi rumah tersebut juga boleh diatasi.

Ibu bapa mampu untuk membeli peranti digital untuk pembelajaran dalam talian ataupun mereka boleh melanggan jalur lebar untuk mendapatkan akses Internet.

Jadi, inisiatif ini adalah salah satu pelan tindakan yang harus dipertimbangkan oleh pihak kerajaan dan boleh melibatkan pihak berkepentingan yang lain.

Mudah-mudahan pelan tindakan ini akan membuahkan hasil seperti program pemberdayaan di Indonesia (Pekka) yang telah dimulakan sejak tahun 2001.

Antara acara program Pekka di Indonesia

Kita mesti ingat bahawa golongan wanita merupakan salah satu penyumbang utama kepada masyarakat dan negara.

Dalam usaha mereka untuk mencari nafkah untuk isi rumah, mewujudkan pekerjaan dengan menjadi usahawan, dan mereka memikul tanggungjawab yang besar dalam keluarga untuk menjaga kanak-kanak dan warga emas.


SOFEA AZAHAR adalah Penganalisis Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS