Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KKIM serah memo ‘masalah pengundi India’ kepada calon BN

PRK SLIM l Kongres Keadilan India Malaysia (KKIM) sebuah parti politik 'mesra BN' hari ini memorandum kepada calon BN Mohd Zaidi Aziz berhubung isu yang dihadapi pengundi India di Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Presiden KKIM, R Shanmugam berkata, memorandum itu menyenaraikan masalah khusus melibatkan pengundi India di DUN Slim.

"Kami berada di Slim selama beberapa hari sejak hari penamaan calon. Dan kami telah mengenal pasti beberapa isu melibatkan pengundi India di sini.

"Jadi, kami menyenarai masalah-masalah ini dan serahkan kepada calon BN agar beliau dapat menyelesaikan isu-isu sekiranya dia mendapat mandat rakyat di PRK ini," katanya kepada Malaysiakini.

Menurutnya, memorandum itu hanya diserahkan kepada calon BN sahaja.

"Ya, kami serah kepada memorandum ini kepada calon BN. Kerana kami KKIM menyokong penuh calon BN saudara Zaidi dan kami percaya hanya wakil rakyat yang mewakili kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan mampu menyelesaikan isu-isu ini.

"Antara isu yang kami membangkitkan, isu rumah pekerja ladang di sini, masalah kebajikan, peluang pekerjaan dan sebagainya," katanya.

Terdahulu, KKIM menyerahkan memorandum tersebut kepada Zaidi Aziz dalam sebuah majlis bersama calon BN di Pekan Slim River, semalam.

Lebih 100 orang terdiri daripada pemimpin KKIM dan pengundi menghadiri ke majlis tersebut.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai. Pengundian ditetapkan pada 29 Ogos.

Zaidi Aziz akan berdepan calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan Santharasekaran Subramaniam.

Pakatan Harapan (PH) tidak bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Pada PRU14, BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS