Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nasihat speaker agar MP jaga kelakuan akhiri sidang kali ini

PARLIMEN | Sidang kedua penggal ketiga Dewan Rakyat ke-14 hari ini diakhiri dengan peringatan oleh speaker Azhar Harun terhadap semua anggota Parlimen agar menjaga kelakuan masing-masing.

Azhar berkata sepanjang dia mempengerusikan Dewan Rakyat kali ini, banyak peraturan mesyuarat yang tidak dipatuhi anggota Parlimen seperti mengeluarkan kenyataan tidak sopan, seksis, menyakitkan, menyesatkan, menuduh, remeh dan dangkal.

"Izinkan saya memberi petua ataupun nasihat, sebenarnya saya telah banyak kali baca peraturan mesyuarat ini, terdapat banyak peraturan mesyuarat yang kita tak ikut sebenarnya," katanya.

Dia membangkitkan peraturan mesyuarat 23(1)(c) yang melarang pertanyaan yang antara lain mengandungi sangkaan, tohmahan, kalimah mengelirukan, menyindi atau berkenaan perkara remeh.

"Itu selalu sangat saya dengar, tetapi saya bagi kelonggaran sebab saya pun 'budak baru'. Kalau saya tegas sangat,banyak yang merungut. Tetapi ini peraturan mesyuarat, peraturan untuk kita semua," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Azhar berkata perkataan seperti pencuri, pengkhianat dan petualang hanya boleh diucapkan sekiranya dapat dibuktikan secara fakta.

Katanya lagi, anggota Parlimen hanya boleh dikritik anggota lain dalam soal menjalankan tugas, bukan soal-soal peribadi.

Dia juga menyuarakan rasa kesal dengan sikap segelintir anggota Parlimen yang mengulang semula kenyataan menyinggung walau baru saja menarik balik kenyataan yang sama.

Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) kemudian mencelah dengan berkata apa yang dinyatakan Azhar itu adalah satu 'skill'.

Namun, dia dengan tenang menjawab: Ya, tapi kalau saya hukum, itu pun 'skill' juga."

Azhar turut menyentuh tindakan anggota Parlimen yang melakukan gangguan ketika perbahasan dan mengingatkan bahawa dia mempunyai kuasa untuk tidak membenarkan anggota Parlimen mendapat penjelasan jika masa sudah suntuk, atau jika soalan tiada kaitan dengan perbahasan.

Tegasnya, lebih-lebih lagi jika soalan ditanyakan dengan niat hendak mengganggu perjalanan sidang.

Ketika itu, Dewan Rakyat bertukar gamat seketika apabila anggota Parlimen tuduh menuduh satu sama lain, antaranya RSN Rayer (PH-Jelutong), Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) dan Shahidan Kassim (BN-Arau).

Azhar yang tampak geli hati dengan reaksi itu berkata: "Siapa makan cili dialah rasa pedas."

Anggota parlimen kerajaan dan pembangkang kemudian bangkit mempersoalkan tindakan menteri yang tidak menyediakan jawapan bertulis.

Menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Santhara Nair, dia juga telah menunggu selama dua tahun untuk mendapatkan jawapan bertulis yang dijanjikan kepadanya sewaktu pentadbiran PH sebelum ini.

Azhar bagaimanapun berkata dia tidak dapat membuat keputusan berkenaan apa yang berlaku sebelum menggalas tugas speaker, namun mendesak menteri dan timbalan menteri untuk menunaikan janji dan memberikan jawapan bertulis yang diminta.

Seorang menteri biasanya akan menawarkan jawapan bertulis jika mereka tiada masa untuk menjawab soalan anggota Parlimen, atau tidak mempunyai fakta yang relevan ketika soalan diutarakan.

Azhar dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat baru menggantikan Mohamad Ariff Md Yusof pada 13 Julai lalu.

Dewan Rakyat dijadualkan bersidang semula pada 2 November depan.

[Baca berita asal]



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS