Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Kemelut Musang King: Sejarah ringkas Kg Sungai Chalit, Raub

Sepanjang dua minggu ini, ketegangan berhubung isu pemutihan kebun durian di Raub oleh kerajaan Pahang kian meningkat dengan protes oleh ratusan pekebun durian haram dan dakwaan pekerja syarikat yang terlibat menerima ancaman dan gangguan.

Tetapi bagaimanakah isu itu boleh timbul pada mulanya?

Secara asasnya, kerajaan Pahang dalam usaha menuntut kebun durian haram yang berkeluasan besar menerusi usaha sama antara badan berkanun, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources (RPDR), yang mempunyai kaitan dengan kerabat diraja negeri itu.

Ia menemui jalan buntu apabila ratusan pekebun haram menolak kontrak yang ditawarkan RPDR-PKPP.

Bagaimanapun, sejumlah pekebun haram sebelum ini telah dimasukkan dalam rancangan yang dilancarkan Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP), sebuah lembaga yang kemudiannya menjadi PKPP.

Beberapa penduduk Kampung Sungai Chalit, Raub, memberitahu Malaysiakini bahawa LKPP pernah berjanji untuk memberikan tanah seluas 0.81 hektar kepada setiap peserta Rancangan Penempatan Semula Keselamatan (RPSK) pada tahun 1970-an.

Sebagai pertukaran, peserta yang berpindah ke kampung itu akan menjadi pemberi maklumat kepada pihak berkuasa berhubung kegiatan Parti Komunis Malaya (PKM) di hutan di situ.

Dengan kata lain, penduduk mendakwa kerajaan negeri pada beberapa dekad lalu menjanjikan tanah kepada mereka dan kini mahu mengambilnya semula.

Pemberian pada Jun

Pada bulan Jun, kerajaan Pahang memberikan hak pajakan tanah seluas 5,357 ekar kepada RPDR-PKPP. Syarikat itu kemudian mendakwa sebanyak 30 peratus kawasan telah diceroboh.

Bekas ketua kampung Mohamad Ali, 80, telah tinggal di situ sejak 1979.

Dia memberitahu Malaysiakini bahawa skim penempatan semula Sungai Chalit diwujudkan oleh LKPP dan lembaga itu menggesa mereka untuk menetap di situ, dengan janji tanah seluas 0.81 hektar setiap seorang.

Selepas menjadi ketua kampung pada 1979, dia memperjuangkan hak tanah kepada penduduk kampung seperti yang dijanjikan kerajaan.

Mohamad Ali

Ada yang mendapat geran tanah dan ada juga yang masih tidak mendapatnya, sehingga hari ini.

"LKPP janji beri tanah dua ekar (0.81 hektar), tetapi bila kita tanya (tentang geran tanah), mereka pada mulanya tidak beri. Saya beritahu mereka 'anda tak boleh buat macam ini, anda sudah janji'," kata Mohamad.

"Jika anda tak janji, kami tak datang ke sini," katanya lagi.

Dia menyifatkan kawasan itu pada 1970-an adalah hutan belantara yang tidak berani dimasuki sesiapa kerana menjadi medan pertembungan antara askar dan polis yang melawan komunis.

Skim penempatan ada rekod rasmi

LKPP diwujudkan pada 1969 di bawah Enakmen Darurat Pahang (Bil 2) Tahun 1969, sebelum ia menjadi PKPP.

Laman rasmi PKPP turut memaparkan sejarah penubuhan Rancangan Penempatan Semula Keselamatan.

"Dengan berlakunya banjir besar pada 1970/1971 serta gerakan komunis yang masih berleluasa, LKPP diberi tanggungjawab untuk melaksanakan tambahan projek sosial melibatkan rakyat iaitu Rancangan Penempatan Semula Banjir dan Rancangan Penempatan Semula Keselamatan di samping Projek Tanah Pinggir dan Ladang Kecil," menurut laman web itu.

Selain itu, data kerajaan turut menunjukkan bahawa RPS Sungai Chalit diwujudkan dalam Rancangan Penempatan Semula Keselamatan(RPSK) pada 1978 di bawah RPSK oleh KLPP, dengan 128 peserta.

Terdapat empat "kampung RPSK" di Pahang, menurut data tersebut. Tiga lagi terletak di daerah Lipis. Empat kampung ini diwujudkan antara 1977 dan 1979.

Data kerajaan juga menunjukkan jumlah kebun di tiga kampung yang lain, tetapi untuk Sungai Chalit, dinyatakan sebagai "tiada lot".

Kebanyakan penduduk Sungai Chalit adalah masyarakat Melayu dan Cina. Kampung itu tidak jauh daripada beberapa bukit.

Menurut penduduk kampung, kedua-dua kebun berlesen dan haram ada di sana.

'Hanya untuk cari makan'

Mohamad akui bahawa ada penduduk kampung meneroka tanah terbiar melangkaui dua ekar yang dijanjikan pihak berkuasa.

Dia berkata sebab mereka berbuat demikian adalah ringkas - iaitu untuk menyara kehidupan.

"Cari makan kat situ, semua Cina dan Melayu pun begitu. ada tempat (kosong), kita usahakan.

"Di sini orang lain tak masuk, semua (penduduk) sini. Jadi bikinlah (bertanam), boleh tanam durian, kelapa, koko pun ada yang tanam," katanya lagi.

Malaysiakini berkunjung ke kampung itu pada 24 Ogos, iaitu pada hari kerajaan negeri secara rasmi mengambil semula tanah yang diusahakan tanpa kebenaran.

Pada hari itu, penduduk berkumpul di depan kedai runcit kampung itu untuk menyuarakan bantahan dan menuduh kerajaan sebagai mungkir janji.

"Kenapa (tanah) yang diberi nak angkat (ambil) semula? Mereka tak beri hak milik (tanah kepada penduduk)," kata Mohd Rizal Mohamed Rusli, penduduk generasi kedua Sungai Chalit.

Mohd Rizal

"Sekarang bila (kawasan itu) sudah naik, baru mereka nak. Senang sangat mereka mahu cari wang?

"Kita tak boleh bagi, sebab ini betul-betul hak kita," katanya lagi.

Peta dilakar, ditanda

Mohamad juga mengimbas kembali bagaimana penduduk mengumpul wang untuk mengupah juru ukur tanah mengukur keluasan kebun mereka.

Lokasi kebun mereka dilakar dan dinomborkan. Seorang penduduk kampung menunjukkan peta tersebut kepada media.

Rizal berkat alagi, LKPP kemudian membuat salinan peta dan menghantarnya ke pejabat tanah.

Seorang lagi peneroka Sungai Chalit, Mat Isa Salleh, 65, mengeluh betapa penat lelah selama berdekad oleh penduduk kampung akan menjadi sia-sia jika tanah tersebut diambil syarikat.

"Kalau syarikat ini ambil (tanah), kita balik semula ke tahun 1980-an. Kita susah," katanya.

Mat Isa

Malaysiakini telah menghubungi kerajaan Pahang untuk mendapatkan maklum balas.

Jalan utama ke kebun haram terletak di hujung jalan tar di kampung itu. Menurut penduduk, jalan sama juga akan membawa ke kebun berlesen.

Pada 12 Ogos, Royal Pahang Durian membawa beberapa kabin pemeriksaan keselamatan sebagai persediaan untuk mengadakan sekatan jalan raya. Ia menimbulkan kerisauan di kalangan penduduk.

Seorang penduduk kemudian membuat laporan polis pada 23 Ogos, berkata syarikat mahu membuat sekatan jalan tanpa memaklumkan penduduk dan Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK), dan ia didakwa mengganggu kehidupan seharian penduduk dan menjejaskan keharmonian kampung.

Syarikat pula mengeluarkan kenyataan semalam, mendakwa pekerja mereka diancam dan diganggu pekebun dan juga telah membuat laporan polis.

Pahang adalah negeri yang paling banyak mengeluarkan durian di Malaysia, dan hampir 80 peratus daripadanya adalah dari Raub.

Kerajaan negeri menganggarkan terdapat 11,000 ekar (kira-kira 4,452 hektar) kebun durian haram di daerah itu.

Pada 24 Jun lalu, kerajaan Pahang dilaporkan memberikan kebenaran memasuki dan menduduki tanah seluas 5,357 ekar (2,167.9 hektar) kepada RPDR-PKPP.

Kerajaan juga mengumumkan pihaknya akan secara rasmi mengambil kebun haram pada hari tesebut.

Kedudukan dan sempadan tepat tanah tersebut tidak didedahkan setakat ini, maka sukar untuk menentukan berapa ramai pekebun yang terkesan.

Perikatan Selamatkan Musang King (Samka) - yang ditubuhkan oleh para pekebun di situ - menganggarkan ratusan pekebun akan menerima kesannya.

Dalam wawancara bersama Malay Mail pada 22 Ogos lalu, RPD menafikan tuduhan menawarkan kontrak bersifat berat sebalah dengan pekebun durian Musang King.

RPD berkata, RPDP-PKPP telah mendapat hak dan pajakan untuk 5,357 ekar tanah di Raub selama 30 tambah 30 tahun, dan mendakwa 30 peratus daripada tanah itu telah diceroboh.

Satu kenyataan bersama yang dikeluarkan RPDP-PKPP juga membangkitkan kepentingan regulasi pasaran durian tempatan bagi mengelakkan pengaruh pelabur asing yang boleh menjejaskan pengeluar tempatan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS