Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kalau Bandar Baru Slim River tak ada, Slim jadi pekan hantu'

PRK SLIM | Bekas exco negeri Perak, A Sivanesan mendakwa BN gagal membawa pembangunan di Dun Slim sepanjang menguasai kerusi berkenaan.

Katanya, keadaan sama berlaku di kubu-kubu kuat Umno seperti di Lenggong dan Grik yang mana kawasan-kawasan tersebut hanya memiliki pejabat-pejabat kerajaan sahaja.

"Cuba lihat di Slim. Apa pembangunan di sini? Pembangunan di sini adalah pejabat kerajaan sahaja. Hospital, rumah rehat, pejabat tanah, kolej Mara, ini sahaja pembangunan. 

"Yang ada pun Bandar Baru Slim River sahaja. Itu pun diusahakan oleh swasta. Kalau Bandar Baru Slim River tak ada, Slim merupakan 'ghost town'," katanya kepada

pemberita dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama Parti Pejuang di Slim, pagi tadi.

Menurut Sivanesan, keadaan ini berbeza dengan kawasan-kawasan dimenangi Pakatan Harapan (PH) yang didakwanya lebih banyak pembangunan.

"Tetapi, mereka (pemimpin BN) kata kawasan pembangkang tidak ada pembangunan. Bodoh sangat mereka. Sebenarnya kawasan pembangkang lebih maju," kata Adun Sungkai itu.

Terdahulu, Sivanesan hadir menyokong calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang mewakili Pejuang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Slim.

Beliau turut menyentuh isu banjir di Dun Slim yang didakwanya gagal diselesaikan oleh pemimpin BN.

"Isu banjir di Slim lebih kurang sama dengan di Bidor. Sebelum tahun 2008, kalau hujan tiga jam satu pertiga Bidor dinaiki air. 

"Tetapi selepas saya memang di Dun Sungkai saya selesaikan isu ini dalam masa enam bulan. Sekarang hujan lima jam pun tidak banjir di Bidor.

"Tapi di Slim isu banjir lebih 50 tahun masih tidak dapat diselesaikan, jadi ini salah siapa?" soal beliau.

Sivanesan pernah memegang jawatan exco kerajaan negeri sebanyak dua kali pada tahun 2008 dan 2018. 

Bagaimanapun kerajaan Pakatan Rakyat pada tahun 2008 hanya bertahan 11 bulan sebelum tumbang kepada Umno BN apabila terdapat Adunnya melompat parti. 

Kerajaan PH di Perak pula hanya berkuasa selama 22 bulan sebelum Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu menyertai Perikatan Nasional dan menubuhkan kerajaan negeri bersama Umno dan PAS.

Dakwa MB beku peruntukan kaum India

Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Perak itu mendakwa Ahmad Faizal membekukan peruntukan sebanyak RM875,000 kepada tujuh ketua komuniti India.

"Di bawah kerajaan PH, kami melantik tujuh ketua komuniti termasuk seorang di Dun Slim dan memperuntukkan RM125,000 setiap seorang pada Bajet 2020.

"Tetapi, Peja (Ahmad Faizal) bertindak membekukan peruntukan itu selepas kerajaan negeri ditukar.

"Inilah keadaan sebenar masyarakat India di Perak di bawah PN. Saya cabar MIC, Makkal Sakthi untuk selesaikan isu ketua komuniti dan jangan sekadar membuat sandiwara," tambahnya.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai. Tarikh pengundian ditetapkan pada 29 Ogos.

Calon BN Mohd Zaidi Aziz akan berdepan calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan Santharasekaran Subramaniam. 

PH tidak bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Pada PRU14, BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS