PARLIMEN l Kementerian Pengangkutan akan berbincang dengan kerajaan negeri Pulau Pinang sekiranya kerajaan negeri berhasrat untuk mengambil alih perkhidmatan feri di Pulau Pinang.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata persefahaman dan hubungan akrab antara kedua-dua pentadbiran kerajaan itu penting kerana segala keputusan kerajaan Persekutuan perlu mendapat sokongan kerajaan negeri.
“Dalam konteks perkhidmatan feri yang kita beri pada rakyat Pulau Pinang, saya beri jaminan selaku Menteri Pengangkutan, apa jua pandangan dan input daripada kerajaan negeri kita akan ambil berat.
“Kita akan bincang dari segi latar belakang sama ada kerajaan negeri masih lagi berhasrat untuk ambil alih. Kalau nak ambil alih secara jangka panjang, kita kena pinda akta kita,” katanya ketika sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Chow Kon Yeow (PH-Tanjong) yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang sama ada kementerian akan memberi maklumat yang lengkap kepada kerajaan negeri dan rakyat Pulau Pinang mengenai pelan jangka panjang perkhidmatan feri di Pulau Pinang.
Wee berkata kerajaan negeri pernah menulis surat kepada Kementerian Pengangkutan pada 2015 mengenai hasrat untuk mengambil alih perkhidmatan feri.
“Kerajaan negeri di bawah Bagan (Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri) tahun 2015 berhajat untuk ambil alih. Tahun 2015 (beliau) tulis surat kepada kementerian. Tahun 2016 dia kata KIV (simpan dalam perhatian) dulu.
“Satu keputusan dibuat selepas itu, memandangkan Rapid Penang di bawah Prasarana Malaysia Berhad menyediakan pengangkutan awam, jadi sebab itu lah wujudnya satu idea tiga tahun lalu untuk tubuhkan Rapid Ferry ini yang diambil alih Prasarana.
“Oleh kerana (sekarang) dalam tempoh peralihan (kerajaan) jadi perlu sedikit masa dan kita akan tanggung kos operasi walaupun berat iaitu RM2 juta sebulan,” katanya.
Wee berkata kos operasi perkhidmatan feri di negeri itu menelan ko kira-kira RM20 hingga 25 juta setahun dan dalam tempoh peralihan, pihaknya meminta Penang Port Sdn Bhd (PPSB) mengambil alih perkhidmatan feri Pulau Pinang pada 1 Sept 2020.
- Bernama