Wang RM29.9 juta yang dibayar sebagai kos menyiarkan perlawanan bolasepak Piala Dunia Fifa 2018 tidak sepatutnya dimasukkan dalam senarai 101 kontrak yang diberikan oleh pentadbiran Pakatan Harapan melalui rundingan terus, kata bekas menteri kewangan dan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.
Pada sidang media hari ini, Lim berkata kos RM29.9 juta itu ditaja oleh AirAsia Bhd dan Maxis Bhd.
“Zafrul sepatutnya mengeluarkan projek tersebut daripada senarai ini sebab walaupun pihak RTM, di bawah KKMM (kementerian komunikasi dan multi media) telah membayar RM29.9 juta, kesemua kos ini telah dikutip balik daripada pihak penaja, iaitu AirAsia dan Maxis.
“Dalam kata lain, AirAsia dan Maxis bayar RTM, RTM bayar Sports Media & Distributor.
“Tambahan lagi Sport Media & Distributor memegang hak monopoli ke atas penyiaran Piala Dunia di Malaysia. Oleh sebab itu, tiada tender terbuka dapat dijalankan,” kata Lim.
Dia menjawab bekas menteri belia dan sukan, Khairy Jamaluddin yang mempersoalkan mengapa pentadbiran PH membelanjakan RM29.9 juta setelah berjanji bahawa pembayar cukai tidak akan dikenakan sebarang bayaran.
Pada 30 Mei 2018, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo mengumumkan bahawa kerajaan telah memperuntukkan RM40 juta untuk mendapatkan hak bagi menyiarkan 41 daripada 64 perlawanan di saluran RTM.
"Sudah tentu akan ada penaja dan sebagainya dan mereka akan menyerap sebahagian besar daripadanya," kata Gobind ketika itu.
Bayaran untuk penyiaran perlawan Piala Dunia itu adalah antara 101 item yang disenaraikan oleh kerajaan Perikatan Nasional sekarang sebagai projek rundingan terus yang diberikan oleh pentadbiran PH.
Pengkritik PH menuduh gabungan itu mengingkari janjinya untuk menghapuskan pemberian kontrak secara langsung.
Namun, para pemimpin PH berkata pengkritik seperti itu sebenarnya keliru kerana gabungan itu tidak pernah berjanji untuk melakukannya. Sebaliknya, perkara 23 pada manifesto pilihan raya PH berjanji akan melaksanakan proses tender terbuka seluas mungkin.